Sudah lama kita tidak bercerita pasal bola sepak. Jadi hari ini marilah kita mendengar cerita Queens Park Rangers (QPR) yang jersi AAA nya mudah diperoleh di pasar malam Malaysia setanding dengan jersi kelab-kelab elit Eropah.
Queens Park Rangers (QPR), sebuah kelab yang berpangkalan di Loftus Road, London mula menjadi perhatian rakyat Malaysia sejak Ogos tahun lepas apabila taikun syarikat penerbangan Air Asia dan pasukan Formula 1 Caterham (dulu dikenali sebagai Lotus Racing), Tan Sri Tony Fernandes mengambil alih pegangan saham majoriti kelab itu. Sebelum ini, kelab itu dikuasai supremo Formula 1, Bernie Ecclestone.
Pengambilalihan kelab ini menyemarakkan impian rakyat Malaysia untuk melihat anak Malaysia beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang selama ini hanya ditonton setiap hujung minggu di Astro. Maka ramailah rakyat Malaysia yang mula menyokong Queens Park Rangers.
Malah pada peringkat awal dulu, iklan Khairul Fahmi Che Mat, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha tidak putus-putus muncul di profil rasmi facebook QPR sehingga menimbulkan kejengkelan kepada penyokong asal kelab itu. Keadaan ini sedikit sebanyak memburukkan nama Malaysia tanpa disedari. Ada juga gesaan supaya Tony Fernandes menggunakan ‘kabel’ beliau untuk menjadikan Safee Sali seorang pemain Liga Perdana Inggeris.
Pengurus QPR, Neil Warnock menyifatkan Safee Sali sebagai ‘David Beckham Malaysia’. Impian rakyat Malaysia untuk melihat pemain kita beraksi di Liga Inggeris tidak kesampaian kerana ranking pasukan kebangsaan yang terlalu rendah. Boleh jadi pemain kita tidak cukup bagus untuk tahap permainan Liga Inggeris.
Queens Park Rangers (atau QPR, Hoops & Rs) ditubuhkan pada 1882 di barat laut London. Pada 1967, mereka mencipta sejarah selaku kelab divisyen tiga pertama menjulang Piala Liga Inggeris. QPR adalah salah sebuah pasukan perintis Liga Perdana Inggeris ketika ia diwujudkan pada 1992.
Musim 2010/2011 adalah musim terbaik mereka sejak sekian lama apabila menjuarai Liga Kejuaraan di bawah bimbingan Neil Warnock. Kejayaan ini menyaksikan QPR kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.
Kalah 0-4 kepada Bolton Wanderers dalam perlawanan pertama liga seolah-olah petanda awal QPR bakal bergelut musim ini. Kemunculan Tony Fernandes bagaimanapun membolehkan Neil Warnock mendapatkan pemain berpengalaman Liga Perdana Inggeris seperti Shaun Wright-Phillips (Manchester City), Joey Barton (Newcastle United), Luke Young (Aston Villa), Anton Ferdinand (West Ham United) dan Armand Traore (Arsenal).
Prestasi buruk QPR sepanjang musim sejuk (menang sekali dalam 10 perlawanan) akhirnya menyebabkan Neil Warnock dipecat pada 8 Januari lalu. Menurut Tony Fernandes, keputusan memecat Warnock adalah antara yang paling sukar yang pernah dibuat oleh beliau. Bekas pengurus pasukan kebangsaan Wales, Blackburn Rovers, Manchester City dan Fulham, Mark Hughes dilantik sebagai pengganti.
Mark Hughes kemudian membawa masuk Bobby Zamora (Fulham), Djibril Cisse (Lazio), Samba Diakite (Nancy), Nedum Onuoha (Manchester City) dan Taiye Taiwo (AC Milan). Bagaimanapun, nasib QPR masih tidak banyak berubah dengan hanya mengutip 5 mata daripada 8 perlawanan.
Mengapa QPR terperangkap di kelompok bawahan liga? Sedangkan berdasarkan pelaburan yang telah dibuat, sepatutnya mereka mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik. Mari kita lihat beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada masalah ini.
Kualiti – QPR mungkin mempunyai kuantiti pemain tetapi bukan kualiti. Pemain seperti Danny Gabbidon, Paddy Kenny, Fitz Hall dan Jay Bothroyd tidak cukup bagus untuk Liga Perdana Inggeris.
Prestasi – Adel Taraabt adalah bintang utama Liga Kejuaraan musim lalu namun tenggelam musim ini. Manakala pemain baru bertaraf bintang seperti Wright Phillips dan Barton pula tidak beraksi pada tahap yang diharapkan.
Gol – 29 gol daripada 28 perlawanan setakat ini menunjukkan kesukaran QPR untuk menjaringkan gol. Penjaring terbanyak QPR setakat ini adalah penyerang berusia 34 tahun, Heidar Helguson (8 gol).
Cedera – kecederaan teruk menimpa Alejandro Faurlin, DJ Bothroyd, Kieron Dyer, Helguson dan Jamie Mackie musim ini.
Sendiri – Persembahan QPR di tempat sendiri adalah salah satu punca kejatuhan mereka. Mereka hanya menang 2 kali di tempat sendiri musim ini selain 5 seri dan 7 kalah.
Disiplin – QPR adalah pasukan paling banyak dilayangkan kad merah di tempat sendiri musim ini (5 kad merah).
Adaptasi – Kehadiran ramai pemain baru dalam tempoh masa yang singkat memerlukan lebih masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan suasana baru dan memahami corak permainan masing-masing.
Dengan penghujung musim semakin hampir, QPR perlu mengutip sebanyak mata yang mungkin untuk mengelak penyingkiran. Kekalahan kepada pasukan seperti Wolves, Blackburn dan Bolton langsung tidak membantu. Ranjau penuh berliku menanti QPR apabila Liverpool, Tottenham Hotspurs, Chelsea, Arsenal dan Manchester City menjadi lawan dalam 10 perlawanan terakhir.
Apakah akan terjadi kepada QPR jika mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan?
Tony Fernandes menyatakan bahawa beliau tidak akan melarikan diri kerana bagi beliau, ini adalah sebuah projek jangka panjang. Sudah tentu akan ada masa baik dan buruk seperti ketika beliau menubuhkan Air Asia. Beliau yakin Mark Hughes akan memastikan QPR kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan walaupun jadual perlawanan tidak menyebelahi QPR.
Bagaimana pula rakyat Malaysia yang menyokong QPR? Setia bersama QPR? Atau kembali ke kelab-kelab gergasi EPL?
Pasukan-pasukan yang baru naik ke Liga Perdana Inggeris biasanya akan bergelut dengan suasana baru. Namun berbanding QPR, dua lagi pasukan baru musim ini iaitu Swansea City dan Norwich City beraksi lebih cemerlang walaupun memiliki sumber kewangan terhad dan tanpa kehadiran pemain bintang.
Semoga berjaya Queens Park Rangers, demi rakyat London barat dan juga Malaysia.
Sekian.
4 comments:
Swansea better lagi.
swansea power!
Hi, din diet, please add me @ facebook;
ERNIE SYAFIKA (the future nutritionist)
hehe..
saya nak sembang-sembang sikit dengan awak tentang kerjaya masa depan :)
@ernie: ok.
Post a Comment