Saturday, December 24, 2011

Fakta Menarik Tentang Yang di-Pertuan Agong!

Salam Sejahtera.

Ketika demam menyambut perlantikan Yang di-Pertuan Agong baru sudah kebah, kali ini ada satu lagi artikel berkaitan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua negara bagi persekutuan Malaysia ini.


Sepanjang aku mengkaji sejarah Yang di-Pertuan Agong sejak Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963, aku telah berhasil menemukan beberapa fakta menarik tentang Raja-Raja Melayu yang telah bergilir-gilir dilantik sebagai yang di-Pertuan Agong. Selamat teruja.





Lanjut usia: Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah (84 tahun, 2011) Sultan Kedah kini ialah Yang di-Pertuan Agong paling berusia semasa dilantik. Baginda diikuti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (73 tahun, 1999) dan Tuanku Jaafar (72 tahun, 1994).

Tuanku Abdul Halim (2011)

Kali kedua:
Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah juga ialah Yang di-Pertuan Agong pertama memerintah sebanyak dua kali iaitu pada 1970 – 1975 dan mulai 2011. Tempoh pemerintahan baginda untuk kali kedua dijangka berakhir pada 12 Disember 2016.

Muda: Yang di-Pertuan Agong paling muda semasa dilantik ke jawatan ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Putra (40 tahun, 1960) diikuti Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah (43 tahun, 1970) dan Sultan Mizan Zainal Abidin (44 tahun, 2006).

Abdul Rahman: Yang di-Pertuan Agong pertama dari Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman (1957-1960) mempunyai nama yang mirip dengan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman (1957-1970).

Dua Abdul Rahman yang mencatat sejarah
(Kedua-duanya juga berdarah raja!)

Abadi: Wajah Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman juga tertera di wang kertas Malaysia. Awas, anda sedang diperhatikan almarhum baginda.

Dua: Dua Yang di-Pertuan Agong pertama mangkat ketika memerintah – Tuanku Abdul Rahman (1957-1960) dan Sultan Hisamuddin Alam Shah (1960).

Tuanku Syed Putra - Agong termuda &
pernah pemegang rekod Raja paling lama memerintah di dunia

Ketiga: Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra ialah Agong pertama berhasil memerintah sehingga tamat tempoh 5 tahun. Tuanku Syed Putra juga muncul Raja yang paling lama memerintah di dunia pada masa tersebut. Baginda ialah Raja Perlis (1945-2000). **

Zaman Peralihan: Tuanku Syed Putra (1960-1965) juga ialah Yang di-Pertuan Agong terakhir Malaya, Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama dan Yang di-Pertuan Agong tunggal memerintah Singapura sebelum perpisahan Singapura daripada persekutuan pada 1965.

Kelahiran Republik Singapura (9 Ogos 1965)

Sembilan: Bilangan Yang di-Pertuan Agong yang memerintah sehingga genap lima tahun sehingga kini.

Empat: Bilangan Yang di-Pertuan Agong yang mangkat semasa memerintah – Tuanku Abdul Rahman dan Sultan Hisamuddin Alam Shah (mangkat pada 1960), Sultan Yahya Petra (1979) dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (2001).

Rancangan agama dan bacaan Al-Quran disiarkan sepanjang hari di semua stesen radio dan TV ketika seluruh begara berkabung. *

Suratan: Kedua-dua Yang di-Pertuan Agong dari Selangor mangkat semasa memerintah.

Singkat: Sultan Hisamuddin Alam Shah merupakan Agong paling singkat memerintah – hanya 139 hari (14 April 1960 - 1 September 1960). Tempoh pemerintahan anakanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah adalah yang kedua paling singkat – 2 tahun 62 hari (26 April 1999 - 21 November 2001).

Kesinambungan: Semasa Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memerintah kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tun Abdul Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia (1970-1976).

Dulu dan Sekarang

Apabila Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kali kedua, anak Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib ialah Perdana Menteri Malaysia (2009-).

Petanda: Ketika Tuanku Abdul Halim dilantik kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tun Abdul Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri. Adakah selepas Tuanku Abdul Halim kembali memerintah, Perdana Menteri Malaysia akan bertukar sekali lagi?

Yang di-Pertuan Agong dari Kesultanan Selangor

Legasi: Dua Yang di-Pertuan Agong menuruti jejak langkah ayahanda mereka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu:

(1) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman (YDPA ke-10) ialah anakanda Tuanku Abdul Rahman (YDPA pertama).

(2) Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (YDPA ke-11) ialah anakanda Sultan Hisamuddin Alam Shah (YDPA ke-2).

Legasi #2: Yang di-Pertuan Agong ke-4, Sultan Ismail Nasiruddin Shah adalah nenda kepada Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin.

YDPA ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) adalah cucunda YDPA ke-4 Sultan Ismail Nasiruddin Shah (kiri). Tengah - Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu 1979-1998 iaitu ayahanda Sultan Mizan.

Pertabalan: Sultan Hisamuddin Alam Shah ialah Yang di-Pertuan Agong tunggal tidak ditabalkan secara rasmi. Baginda mangkat pada 1 September 1960, tarikh asal upacara pertabalan baginda dijadualkan berlangsung.

Tiga: Bilangan Raja yang dilantik sebanyak dua kali sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong – Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (1965-1970, 2006-2011), Tuanku Ja’afar (1979-1984, 1989-1994) dan Sultan Mizan Zainal Abidin (1999-2001, 2001-2006).

Sultan Muhammad Ke-V, Sultan Kelantan
Timbalan Yang di-Pertuan Agong (Mulai 13 Disember 2011)

Putera Merdeka: Sultan Mizan Zainal Abidin ialah Yang di-Pertuan Agong pertama dilahirkan selepas Malaya mencapai kemerdekaan. Baginda diputerakan pada 22 Januari 1962.

Hakim: Sultan Azlan Shah pernah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara. Pada 1983 baginda dilantik sebagai Raja Muda Perak ketika masih bergelar Ketua Hakim Negara. Baginda melepaskan jawatan itu apabila dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 1984.

Bukan Kerabat: Raja Permaisuri Bainun (Perak) ialah Raja Permaisuri Agong pertama daripada orang kebanyakan (1989). Raja Permaisuri Bainun ialah seorang bekas guru.

Raja Permaisuri Agong yang menutup aurat.
'The First Lady' inspirasi semua wanita Islam Malaysia.

Permaisuri Muda: Tuanku Siti Aishah (Selangor) ialah Raja Permaisuri Agong paling muda dalam sejarah. Tuanku Siti Aishah ketika itu berusia 29 tahun (1999).

Hijab: Tuanku Siti Aishah (1999) juga ialah Raja Permaisuri Agong pertama bertudung diikuti Tuanku Nur Zahirah (2006).


Nota:
* Pada tahun 2001, semua stesen televisyen dan radio diarah menghentikan program hiburan selama tiga hari (RTM selama tujuh hari) selepas kemangkatan Sultan Salahuddin. Rancangan keagamaan dan bacaan Al-Quran disiarkan secara berterusan sepanjang tempoh tersebut. Situasi sama berlaku pada 1979 apabila Sultan Yahya Petra mangkat (walaupun pada masa tersebut RTM adalah satu-satunya stesen penyiaran di Malaysia).

** Kini rekod ini dipegang oleh Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyajej (1946-).


Sekian.
Semoga bertambah lagi pengetahuan umum anda.

6 comments:

Miera said...

wah, banyaknye fakta tentng YDPA baru tahu hari ni.. anyway, tq for sharing...

Din_diet said...

sama2..

::CIK LYNN:: said...

thnks for sharing a.din...=) bru sy tau fakta skit2 sal YDPA..

Din_diet said...

sama2 cik lynn.. good luck final ye.

Unknown said...

Bismillah walaupun hamba ini darah diraja,hamba tidak pernah sombong kerana hamba adalah milik Allah menjalankan Amanahnya.

Unknown said...

Bismillah sebelum ini beta tercari-cari dimanakah kemuncak kejayaan beta, dengan panjatkan puji-pujian kepada Allah telah memberi petunjuk yang jelas kepada beta. Sesungguhnya ramai kekanda saya di istana dapat memberi dorongan kepada beta jutaan terima kasih.