Friday, August 17, 2012

Prebiu Liga Perdana Inggeris 2012/2013


Salam Sejahtera.

Gelaran yang dibeli dengan wang! - kata penyokong Red Devils 
(yang lupa dengan pembelian Young, De Gea, Ferdinand, Veron, Rooney dan lain-lain yang mencecah jutaan pound).

Liga Perdana Inggeris 2012/2013 kembali lagi untuk musim baru dengan saingan yang bertambah sengit. Pastinya pelbagai elemen drama, gaya permainan dan kontroversi bakal mewarnai saingan liga kesukaan ramai ini. Siapa yang bakal bermegah dengan kejayaan? Siapa pula yang bakal kecewa dengan kegagalan?


Manchester City, selaku juara bertahan pastinya akan turun habis-habisan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu walaupun agak kurang berbelanja musim ini. Setelah gagal memenangi sebarang kejuaraan musim lalu, Sir Alex Ferguson mendapatkan Shinji Kagawa dan Robin Van Persie untuk membolehkan Manchester United kembali mencabar penguasaan takhta liga.

'Bruce' Wayne segak berbaju raya. Robin bakal menyusul.

Masih segar dengan status selaku juara Eropah, Chelsea turut berbelanja besar bagi mendapatkan Eden Hazard, Oscar dan Marko Marin untuk membantu Fernando Torres menjaringkan gol. Di Utara London pula, Arsene Wenger terpaksa melupakan Robin Van Persie namun kehadiran Santi Cazorla, Lukas Podolski dan Olivier Giroud akan membantu Arsenal melupakan bekas kapten mereka itu.

Tahukah anda, Eden Hazard sebenarnya berasal dari Negeri Sembilan.

Pencapaian tempat kelima Newcastle United musim lalu mengejutkan banyak pihak namun penyokong Magpies yakin mereka tetap mampu bersaing dalam kelompok teratas liga. Andre Villas-Boas mendapat peluang kedua untuk membuktikan bakatnya dalam Liga Perdana Inggeris sebagai pengurus baru Tottenham Hotspur di sebalik spekulasi tentang masa depan pemain tengah Luka Modric.

Biarpun wajah mereka hitam, hati mereka lebih cerah daripada Papagomo

Transformasi Liverpool menjadi agenda utama pengurus baru mereka, Brendan Rodgers yang perlu bekerja keras untuk memastikan The Reds mampu kembali bersaing dalam kelompok elit satu hari nanti. Di stadium bersebelahan, musuh setempat mereka, Everton berharap kempen mereka kali ini bermula dengan lebih baik berbanding beberapa musim sebelum ini.

From Kenny to the Rodgers, so thats how Kenny Rodgers was born..

Kedudukan sasaran perpindahan Liverpool, Clint Dempsey masih menjadi persoalan tetapi Fulham bimbingan Martin Jol fokus untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian 10 teratas musim lalu. Pelaburan Tony Fernandes dan Mark Hughes di Queens Park Rangers untuk mendapatkan pemain-pemain berpengalaman pasti diharapkan mampu memberi pulangan lebih baik berbanding musim lalu.

QPR perlu membuktikan mereka bukan sekadar 
mampu membelasah Kelantan dan Sabah

Steve Clarke yang lebih dikenali dengan watak pembantu di Chelsea dan Liverpool sebelum ini berpeluang membuktikan kebolehannya sebagai pengurus di bekas pasukan Roy Hodgson, West Bromwich Albion. Di Aston Villa pula, pengurus baru Paul Lambert bertekad membaiki persembahan buruk pasukan itu musim lalu dan untuk itu, Stephen Ireland dan Charles N’Zogbia perlu kembali kepada prestasi sebenar mereka.

 Orang baru, semangat baru

Roberto Martinez dan pasukannya Wigan Athletic pula berharap untuk tidak lagi bergelut di kelompok bawahan liga dengan mempamerkan aksi yang lebih baik musim ini. Martin O’Neill bagaimanapun berdepan sedikit kesukaran bersama Sunderland untuk mengukuhkan pasukan dengan pemain baru yang diinginkan untuk sebelum musim baru bermula.

Calon pengurus Real Madrid kembali lagi.

Gaya bola sepak Sam Allardyce mungkin kurang menarik namun berjaya membantu West Ham United kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas setahun dan sudah tentu Hammers akan bekerja keras untuk mengelakkan penyingkiran. Sementara itu, Tony Pulis perlu mencari jalan untuk meningkatkan prestasi Stoke City bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kelompok penyingkiran musim ini.

 Jersi macam Real Madrid, main macam Barcelona. Kemah kemin!

Dua pasukan baru musim lalu, Swansea City dan Norwich City mendapat pengurus baru setelah pengurus mereka sebelum ini dipancing pasukan lain. Michael Laudrup akan meneruskan gaya ‘Swansealona’ di Swansea City seperti yang dilakukan pengendali sebelumnya. Bekas pengurus Newcastle, Chris Hughton pula perlu memantapkan pertahanan Norwich City yang agak lemah musim lalu di samping memastikan jentera serangan mereka tetap tajam di depan gol lawan.

Kerana banyak membaca, boleh menang kejuaraan. 
Tak percaya? Tanya Reading.

Setelah kali terakhir beraksi dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2007/2008, Reading akhirnya kembali ke pentas Liga Perdana dengan harapan mereka mampu bersaing pada peringkat tertinggi. Southampton bimbingan Nigel Adkins pula berjaya mengikut jejak langkah Norwich City musim lalu apabila dinaikkan dua divisyen berturut-turut untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali petama sejak musim 2004/2005.

Apakah kesudahannya?
Nantikan penamatnya, Mei 2013 ini.

2 comments:

chanz said...

hahaha kenny rodgers! didn't see the similarity!

Din_diet said...

hahaha. tapi season ni Newcastle tetap duk atas liverpool.ok?