Thursday, December 6, 2012

Berita Bola Sepak Malaysia #6

Salam Sejahtera.

Setelah setahun berlalu, Berita Bola Sepak Malaysia kembali ke hadapan anda dengan membawa khabar tentang perkembangan bola sepak tanah air. Apakah isu-isu menarik kali ini?

Pray & Play for Palestina!

Teruskan setia bersama kami. - editor




HARIMAU MALAYA: MISI AFF SUZUKI 2.0
Oleh Raja Gobar Bin Raja Kapor

Tiada sia-sia 'choir' di depan bas
Tiada sia-sia 'chant' Singapura itu anjing
Tiada sia-sia 'cheering' selama 2 jam

Aumm..

Malaysia 0 Singapura 3
Di atas kertas, apabila harimau bertemu singa, singalah yang selayaknya menang kerana mereka ada 'hubungan diplomatik' dengan Israel kerana singa ialah raja rimba. Harimau pula ialah Rajagopal. Akibat kekalahan ini, jari-jari dituding kepada Leuniey (tunang dia, sebenarnya), King Gopal dan pertahanan bertaraf pelajar sekolah rendah yang gagal menjawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman UPSR.

S = Super? Safee? Serang? Saranghae? Safiq tak power?

Malaysia 4 Laos 1
Wan Zack Haikal (yang berjaya menarik minat ramai 'fangirl') dan Shakir Shaari berjaya menghidupkan bahagian tengah Malaysia yang digigit sehingga parah oleh singa dalam perlawanan sebelumnya. Sekiranya barisan penyerang Malaysia tidak bermain seperti Fernando Torres, Malaysia mungkin mampu menjaringkan lebih banyak gol.

2 Garuda ditembak jatuh dengan gol ke-2 dari pemain no.2 
yang menunjukkan simbol 2 dengan 2 jari tangannya. 
Banyak nombor 2 ini mesti kerja Yahudi iluminati.

Malaysia 2 Indonesia 0
Sudah jelas terbukti bahawa barangan tempatan lebih baik daripada barangan import. Malaysia nampaknya tidak memerlukan pemain berwajah mirip Cristiano Ronaldo (Rafael Maritimo) dan pemain dari keturunan penjajah untuk menang. Semua pemain Malaysia ada kad pengenalan biru tahu? Kali ini giliran Mahali Jasuli pula menjadi hero dengan aksi bertaraf dunia (kot).


BELASUNGKAWA JOHOR FC ADA APA PADA NAMA?
Oleh Jordi 'Hamid' Alba

Siapa kata warga Malaysia dan Singapura tak boleh bekerjasama? 
Hanya Zed Zaidi sahaja tak boleh.

Ketika kelab-kelab seangkatan dengan Johor FC seperti NS Chempaka, Selangor MPPJ dan Melaka Telekom sudah lama diarwahkan, Johor FC terus melangkah gagah dalam arena bola sepak Malaysia. Johor FC menjadi pengubat kekecewaan peminat bola sepak Johor berikutan kemerosotan pasukan negeri mereka. Ada juga pihak-pihak tertentu yang ingin mengganggu pasukan ini demi kepentingan peribadi namun usaha mereka tidak berjaya berikutan pengurusan mantap JCorp dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

Segalanya berubah selepas pemilihan jawatan baru Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ). Pengurusan Johor FC bertukar tangan kepada PBNJ, bersama misi dan visi baru untuk mengembalikan kegemilangan pasukan negeri. Pasukan Johor FC dijenamakan semula sebagai Johor, manakala pasukan negeri Johor yang asal dikenali pula sebagai Johor United yang akan memfokuskan kepada pembangunan pemain muda.

Logik dari segi penukaran nama ini mudah. Memandangkan tidak ada jaminan bahawa pasukan Johor akan menjuarai Liga Perdana musim depan, maka Johor FC menjadi jalan pintas untuk memastikan pasukan Johor 'kembali' ke saingan Liga Super. Jika difikirkan balik, kurang manis jika pemain berstatus bintang seperti pemain kebangsaan dan pemain import terkenal beraksi dalam sebuah pasukan divisyen dua (kerana duit, manusia sanggup buat apa sahaja?).

Tahniah kepada Johor FC kerana sudi menceriakan bola sepak Malaysia ini. Sebuah lagi kelab (secara praktikalnya) hilang daripada bola sepak tanah air. Berehatlah dengan aman. Walaubagaimanapun saya tetap berasa kasihan dengan penyokong asal Johor FC kerana pasukan mereka asyik bertukar nama tiap-tiap bulan.


Troll alert: Johor FC - JCorp FC - Johor - Darul Takzim FC

Perkhabaran terbaru yang bertiup daripada negeri selatan tanah air bagaimanapun menyaksikan Johor (FC) kembali berstatus kelab, kali ini bertukar kepada Darul Takzim FC. Pengurusan pasukan ini juga dikatakan akan bertukar tangan. Manakala pasukan negeri Johor kekal beraksi dalam Liga Perdana. Macam pokemon pula boleh bertukar banyak kali ni.


MANCHESTER CITY MALAYSIA 2.0
Oleh Iskandar Johori

'Manchester City Malaysia' 2012 dalam kenangan..

Jika Angkatan Tentera Malaysia dikenali sebagai 'Manchester City Malaysia' untuk tahun 2012, Gelaran 'Manchester City Malaysia' untuk musim 2013 berpindah tangan pula kepada pasukan Johor (err, Darul Takzim FC sebenarnya). Kehadiran barisan bintang tempatan dan luar negara menampakkan kesungguhan pasukan ini untuk mengejar kegemilangan. 

Antara pemain-pemain baru pasukan ini adalah alumni 'Manchester City Malaysia 2012 atau ATM' iaitu Zaquan Adha Razak, kembarnya Aidil Zafuan (makin jauh lari daripada Rita nampak, nusyuz betul) dan Azmi Muslim. Diharapkan mereka akan kekal dalam pasukan ini pada tahun 2014. Jangan pula anda mencari pasukan 'Manchester City Malaysia' baru pula nanti.

Yusmira sudah kecil hati dengan Yo

Tidak ketinggalan juga pakar sepakan percuma negara Safiq Rahim, Muslim Ahmad dan Mario Talaha, yang kini telah diubah genetiknya kepada seorang Jawa bernama Wak Lan*. Terbaru, mereka bakal disertai oleh superhero negara iaitu Super Safee Sali!!!!

Pemain import mereka pula cukup berbisa, malah tidak salah jika dikatakan mereka terlalu bagus untuk liga gred D seperti Liga Malaysia ini. Nama Daniel Guiza yang pernah bergurau senda dengan Xavi Hernandez dan Iker Casillas sudah cukup untuk menggoncang lutut setiap pemain pertahanan pasukan lawan. Simone Del Nero pula pastinya lebih hebat daripada perisian Nero yang dipasang dalam komputer peribadi anda.

Diharapkan peminat bola sepak di negeri Johor menyahut seruan YAM Tengku Mahkota Johor untuk kembali memeriahkan suasana Stadium Larkin. Jangan pula membazir masa malam minggu anda di Danga Bay dan Legoland. Luaskan Kuasamu!

*Tertakluk pada syarat dan terma kontrak berkaitan


RISE OF THE TITANS
Oleh Embong Endot

Darren Fletcher, Park Ji-Sung dan pengadil terpegun 
dengan kemahiran Boateng

Sementara itu, T-Team kini dikenali dengan jolokan 'The Titans'. Saya tertanya-tanya apakah nama jolokan mereka sebelum ini (Adik Penyu? Penyu Mude? Ahmad Said 'babes'?). Peter Butler pula diberi tugas selaku jurulatih baru pasukan sebagai balasan menyingkirkan Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad daripada bumi Terengganu. 

Turut diperkenalkan awang import baru George Boateng (37 tahun), yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama Coventry City, Aston Villa, Middlesbrough dan Hull City. Aku harap Boateng tidak tersebut perkataan 'jeezes' nanti apabila turun padang di hadapan kira-kira 350 orang penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah....


TOLONG KAMI, BANTU KAMI
Oleh Alfonso di Abukaki

team bola lemah pun tak apa asal negeri dan kami kaya..haha!

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Ali Rustam bersungut tentang kekurangan dana persatuan untuk menghasilkan sebuah pasukan yang mantap dalam saingan Liga FAM. Beliau terpaksa mencadangkan MAFA mengutip derma sepanjang tahun daripada syarikat korporat dan hartawan untuk menampung perbelanjaan.

Kekurangan dana ini adalah disebabkan oleh sebahagian besar peruntukan negeri digunakan untuk membasmi kemiskinan negeri beliau. Hanya RM 400,000 mampu disumbangkan oleh kerajaan negeri kepada MAFA. Bagus betul kerajaan negeri ini. Tidak seperti negeri 'miskin' tu yang asyik leka dengan bola sepak berbanding berusaha meningkatkan kemajuan diri.

Sebenarnya kami ada beberapa cadangan untuk pertimbangan Dato' Seri, demi kebaikan bola sepak Melaka:

yu med bero?

1) Tukar nama pasukan Melaka kepada Malaga FC (atau Malaka, seperti nama di zaman dahulu). 
2) Minta bantuan Dato' Shah Rukh Khan, ingatkan beliau tentang budi kerajaan negeri Melaka kepadanya selama ini.
3) Menghubungi persatuan bola sepak di negeri 'miskin' itu dan tanyalah tentang cara menarik penajaan syarikat-syarikat korporat.

Sementara itu, dengarnya sebanyak RM 600,000 digunakan untuk majlis perkahwinan anak beliau. Alangkah lebih baik jika duit ini didermakan kepada persatuan bola sepak negeri Melaka.....


Sekian. Kita jumpa lagi di lain masa, lain waktu.

No comments: