Kali ini, segmen Berita Bola Sepak Malaysia akan memfokuskan kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Singapura.
KELAYAKAN PIALA DUNIA: MALAYSIA VS SINGAPURA #2
Malaysia 1 Singapura 1
(Singapura menang agregat 6-4)
Dengan sorakan padu 90000 penyokong, Malaysia turun dengan misi untuk mencari sekurang-kurangnya 2 gol. Tidak banyak peluang untuk Malaysia pada babak pertama. Beberapa kali Singapura hampir menambah gol mereka namun ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang menyelamatkan Malaysia.
Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-58 sebelum Safee Sali menjadikan kedudukan 1-0 dan 4-5 menerusi agregat. Tatkala Malaysia ghairah memburu gol kedua, Shia Jia Yi meyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi satu serangan balas pantas akibat kelekaan barisan pertahanan.
Malaysia terus mengasak namun tidak berjaya menembusi pertahanan Singapura. Taktik Singapura melengah-lengahkan permainan berjaya memadamkan momentum serangan Malaysia. Pemain gantian, Fakri Saarani diperintah keluar padang setelah menerima 2 kad kuning.
Akhirnya, Malaysia berputih mata untuk layak ke pusingan seterusnya. Singapura pula mendapat peluang untuk beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik Asia.
Rating Pemain Malaysia
Khairul Fahmi Che Mat - 9.5/10
Mahali Jasuli - 5/10
Aidil Zafuan Abdul Radzak - 6/10
Fadhli Shas - 5.5/10
Asrarudin Putra Omar - 5.5/10
Amar Rohidan - 5/10
Ismail Faruqi Ashaari - 4.5/10
S Kunalan - 6.5/10
Amirul Hadi Zainal - 6.5/10
Abdul Hadi Yahya - 6.5/10
Safee Sali - 8/10
Pemain gantian
Muslim Ahmad - 6/10
K Gurusamy - 5.5/10
Fakri Saarani - 3/10
TAKTIKAL DATO' K #2
1) Pemilihan pemainUntuk perlawanan kedua, Malaysia melakukan tiga pertukaran daripada perlawanan pertama 23 Julai lalu. Khairul Fahmi Che Mat menggantikan Sharbinee Allawee, Aidil Zafuan menggantikan Muslim Ahmad dan Abdul Hadi Yahya menggantikan Fakri Saarani.
Pemain-pemain yang tidak mempamerkan prestasi baik semasa perlawanan di Singapura tempoh hari seperti Ismail Faruqi dan Amar Rohidan masih diberi peluang untuk bermain. Ini menimbulkan spekulasi kewujudan tentang pemain tertentu yang bergelar 'anak emas' jurulatih.
Ismail Faruqi hanya bermain untuk cap antarabangsa kedua (perlawanan pertama 23 Julai 2011 adalah penampilan pertama Ismail untuk pasukan Malaysia). Ternyata masih kurang berpengalaman dalam perlawanan genting seperti ini. Kalau sekali pun menyerlah semasa melawan pemain simpanan Liverpool tidak bermakna akan menyerlah semasa menentang pasukan kebangsaan Singapura. (Liverpool = Singapura?)
Aidil Zafuan ternyata masih kurang cergas untuk bermain tetapi tetap menggagahkan diri untuk bermain demi Malaysia tercinta. Terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan berulang sekali gus meletakkan rumah tangga beliau bersama Rita Rudaini dalam dilema.
Bagaimanapun, Khairul Fahmi Che Mat yang menggantikan Sharbinee mempamerkan aksi mantap, sekaligus membuktikan beliau adalah penjaga gol no.1 Malaysia masa kini.
Jika Arsene Wenger mencari penjaga gol, jawapannya ada di sini!
2) Penggantian pemain
Kemasukan Muslim yang menggantikan Aidil yang cedera menjadikan Malaysia kembali dengan barisan belakang yang sama melepaskan 5 gol di Jalan Besar tempoh hari, kecuali Apek.
Namun kemasukan K Gurusamy (pemain tengah bertahan) menggantikan Ismail Faruqi (pemain tengah menyerang) pada separuh masa kedua boleh dipersoalkan. Mengapa? Sedangkan pada masa tersebut Malaysia sedang berhempas pulas mencari gol seterusnya. Sepatutnya Baddrol Bakhtiar atau Ashaari Shamsuddin dimasukkan sebagai pemain tengah menyerang. Amirul Hadi Zainal juga boleh bermain di bahagian tengah sebagaimana seperti di Jalan Besar tempoh hari.
Meskipun dua pemain tengah bertahan bermain, hanya satu serangan mengejut Singapura dan kelekaan pertahanan dapat menghasilkan gol untuk mereka.
Fakri Saarani hanya masuk untuk dilayangkan dua kad kuning dan dihantar keluar padang. Ketika Malaysia mencari gol, Fakri terpaksa dimasukkan mungkin kerana tiada lagi pilihan lain. Namun tindakan Fakri menghantar Shahril Ishak yang sedang 'catwalk' ke tepi padang amat dihargai.
3) Bola tinggi
Apabila taktik bola tinggi kembali dimainkan, ketepatan hantaran berkurang kepada 50%. Taktik yang tidak berkesan kerana pertahanan Singapura diketuai Daniel Bennet cemerlang di udara. Dengan fizikal pemain Malaysia yang agak katik berbanding import Singapura, seharusnya mereka bermain dengan hantaran pendek dan tepat.
Dan bola lambung dari pertahanan terpaksa dilakukan sebab barisan tengah yang tidak hidup.
4) Formasi
Jika Malaysia tidak dibolosi 5 kali gara-gara penjaga gol hensem di Singapura, Malaysia masih berpeluang untuk layak ke pusingan seterusnya.
Malaysia sepatutnya bermain di Singapura tempoh hari dengan formasi 4-2-3-1. 2 pemain tengah bertahan (Amar dan Gurusamy atau Shakir Shaari) jika Malaysia ingin mengelakkan dibolosi terlalu banyak gol kerana pertahanan yang rapuh.
Dalam perlawanan kedua, ketiadaan Safiq Rahim amat dirasai. Malaysia kekurangan ilham untuk mencorakkan serangan. Jarak antara barisan pertahanan, tengah dan serangan terlalu jauh menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada hantaran jauh yang dipatahkan pihak lawan.
DAN LAIN-LAIN
1) Anak Emas
Kewujudan pemain-pemain tertentu yang didakwa 'anak emas' Dato' K agak merimaskan. Pemain-pemain ini tetap mendapat peluang untuk bermain di pasukan utama walaupun terbukti mereka bermain dengan teruk sebelum ini. Jika di pasukan negeri pun mereka gagal, ini pula untuk pasukan kebangsaan?
Adakah pemilihan pemain Malaysia ditentukan oleh Rajagopal atau ada campur tangan pihak lain?
2) Anak Tiri
Pemain seperti Ashaari Shamsuddin, Baddrol Bakhtiar dan Azmi Muslim dipanggil menyertai skuad kebangsaan, namun khidmat mereka tidak digunakan.
Pemain lain yang menyerlah dalam Liga Super termasuk bekas pemain kebangsaan seperti S Subramaniam, Norhafiz Zamani, Shahrulnizam Mustapha dan Joseph Kallang Tie langsung tidak dipanggil.
Juara Liga Super, Kelantan hanya memiliki 3 pemain dalam skuad kebangsaan - Khairul Fahmi, Shakir Shaari dan Rizal Fahmi Ab Rosid. Hanya Khairul Fahmi beraksi dalam perlawanan menentang Singapura. Norshahrul Idlan Talaha pula cedera. Berdasarkan prestasi terkini, lebih ramai pemain Kelantan harus diberi peluang (bukan sebab aku orang Kelantan).
Pasukan yang berjaya seperti Sepanyol dibentuk daripada gabungan sebahagian besar pemain-pemain dua kelab terbaik Sepanyol (Barcelona dan Real Madrid). Bagaimanapun, pasukan utama Malaysia dibentuk daripada gabungan pemain skuad no.3 Liga Super, pasukan no.5 dan pasukan no. 8.
Biarlah, Dato' kan kenal pemain dia. Itu hak dia.
Untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Oman, beberapa nama di atas telah dipanggil. Dan mereka perlu diberi peluang bermain, bukan sekadar berada di bangku simpanan.
3) Perlawanan Persahabatan 'Antarabangsa'
Perlawanan persahabatan dengan Arsenal, Liverpool dan Chelsea dilihat sesetengah pihak hanya untuk mengisi kantung FAM dan kelab-kelab terbabit. Pengalaman juga diperoleh tetapi ada persoalan jika keyakinan pemain negara disentap setelah kalah teruk. Harimau Muda yang bergabung dengan beberapa pemain senior nampaknya lebih bersemangat untuk melawan.
Adalah lebih baik jika FAM mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan kebangsaan negara lain. Sekurang-kurangnya dapat menjaga ranking Malaysia. Ranking terbaru - Malaysia turun ke tempat ke-146 dunia. Di ranking 147 adalah Bangladesh..
Seterusnya, skuad kebangsaan Malaysia akan berkunjung ke Oman (ranking ke-107) minggu depan untuk perlawanan persahabatan.
4) Sasaran Seterusnya?
Dato' K Rajagopal juga menyatakan skuad ini disasarkan untuk layak ke Piala Asia 2015 kerana skuad ini masih muda. Namun, jika pemain-pemain 'anak emas' yang sama diberi peluang, tidak mustahil Malaysia akan gagal lagi. Selepas itu apa pula? Piala Dunia 2018? Piala Asia 2019? Sukan Sea 2021?
Dan lebih ramai lagi pemain Malaysia perlu beraksi di luar negara. Kehadiran pemain import musim depan diharap akan membantu pemain tempatan meningkatkan kemahiran mereka.
BUAT PEMINAT BOLA SEPAK TANAH AIR
Teruskan sokongan anda kepada pasukan bola sepak kita. Malaysia masih mempunyai masa depan yang cerah dengan kehadiran pemain-pemain berbakat. Mungkin ada lebih ramai lagi yang tidak disedari di kampung-kampung dan kawasan pedalaman seluruh negara. Pendedahan berterusan dan pengurusan secara profesional di semua peringkat adalah diperlukan.
Kritikan bukan bertujuan untuk membunuh semangat pemain. Kritikan ini kerana sebagai peminat, mereka sayang kepada pasukan kebangsaan. Mereka tidak mahu bola sepak Malaysia kembali ke zaman gelap. Mereka tetap mengimpikan zaman kegemilangan 1960-an dan 1970-an dulu akan berulang kembali.
Apapun, nampaknya Malaysia tak ada rezeki untuk melangkah lebih jauh kali ini. Cuba lagi untuk Piala Dunia 2018.
Sekian. Sekiranya ada tersalah bicara, maaf kalian ku pinta.
Selamat berpuasa.
No comments:
Post a Comment