Thursday, August 25, 2011

Berita Bola Sepak Malaysia #4

Salam Sejahtera.

Berita Bola Sepak Malaysia kembali lagi dengan membawakan perkembangan terbaru bola sepak tempatan sama ada yang masih panas atau pun yang telah sejuk beku.



Berita Bola Sepak Malaysia #1
Berita Bola Sepak Malaysia #2
Berita Bola Sepak Malaysia #3



PERLAWANAN PERSAHABATAN 'ANTARABANGSA'
SELANGOR 1 MALAYSIA XI 0, 6 OGOS 2011

Berikutan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Oman tempoh hari, Selangor telah dipilih sebagai pasukan gantian untuk menentang anak buah Dato' K Rajagopal.

Skuad kebangsaan bagaimanapun tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Rudie Ramli. Raja mengambil kesempatan memanggil beberapa muka baru dan lama untuk mengukuhkan pasukan setelah berdepan kritikan hebat ekoran kekalahan kepada Singapura tempoh hari.



PIALA MALAYSIA 2011

Berakhirnya kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Malaysia juga bermakna fokus peminat tempatan kembali kepada pasukan negeri masing-masing untuk kempen Piala Malaysia tahun ini. Adakah Kelantan akan sekali lagi membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu tahun ini?



Berikut adalah keputusan undian kumpulan.

Kumpulan A: Kedah - Perak - Sabah - Johor
Kumpulan B: Terengganu - Negeri Sembilan - PKNS FC - Sime Darby

Kumpulan C: Kelantan - Johor FC - Felda United - Sarawak

Kumpulan D: Selangor - T-Team - Kuala Lumpur - PDRM

Di atas kertas, laluan Kelantan dilihat paling selesa. Johor FC, Felda United dan Sarawak akan berentap untuk mengiringi Kelantan ke suku akhir.

Selangor pula mendapat undian yang selesa dari segi jarak perjalanan. Tahun ini mereka kekal di Lembah Klang sepanjang peringkat kumpulan, kecuali lawatan ke Terengganu menentang T-Team.

Juara 2010 - Kelantan

Terengganu, Juara Piala FA dan naib juara Liga Super diundi sekumpulan dengan Negeri Sembilan (naib juara Piala Malaysia 2010). Kumpulan ini bertambah sengit dengan kehadiran Juara Liga Perdana, PKNS dan Sime Darby yang membelasah Pahang 6-0 untuk layak ke Piala Malaysia.

Kedah dijangka akan mengungguli kumpulan A. Perak bagaimanapun mungkin sedikit terjejas dengan penggantungan beberapa tonggak utama pasukan.

Piala Malaysia akan berlangsung sepanjang bulan September dan Oktober ini.


PEMAIN MALAYSIA BERAKSI DI EROPAH?

Safee Sali, yang beraksi bersama kelab Pelita Jaya FC dalam Liga Indonesia dilaporkan menarik minat beberapa kelab Bundesliga seperti FC Koln, kelab di mana penyerang antarabangsa Jerman, Lukas Podolski bermain.

Safee ke Bundesliga?

Pemain sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar juga turut dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Wigan Athletic.

Pemain Malaysia beraksi di Eropah bukanlah perkara yang baru. Pemain-pemain seperti Akmal Rizal, Juzaili Samion, Rudie Ramli dan Khalid Jamlus pernah beraksi di Perancis dan Jerman bersama kelab divisyen tiga negara terbabit. Ada yang dapat bertahan lama dan ada juga yang pulang awal ke tanah air. Apa khabar Titus James Palani?


HARIMAU MUDA TERUS MENGAUM


Harimau Muda yang masih berada di Slovakia untuk persiapan kempen kelayakan Sukan Olimpik September ini terus mempamerkan aksi mantap. Semoga anak buah Ong Kim Swee mampu mengekalkan prestasi ini untuk misi sebenar selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beberapa pemain Harimau Muda seperti Wan Zack Haikal, Irfan Fazail dan Muslim Ahmad juga telah menarik minat kelab Liga Slovakia. Keputusan setakat ini:

26/07 FK Bodva Moldava nad Bodvou (menang 1-0)
30/07 MFK Topvar Topolcany (menang 2-1)
02/08 Tatran Liptovsky Mikulas (menang 2-1)
09/08 Budapest Honved FC (kalah 1-4)
16/08 MFK Dolny Kubin (menang 2-0)
23/08 FC Nitra (kalah 0-1)
26/08 FC Levice


UNIVERSIADE LA MALAYSIA


Malaysia vs Brazil, Universiade 2011

Di Shenzhen, China, Malaysia beraksi dalam acara bola sepak kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011. Skuad Malaysia kendalian Aminuddin Hussin berdepan laluan perit diundi sekumpulan dengan Brazil, Rusia dan Ukraine. Untuk kejohanan ini, pasukan Malaysia dibarisi pemain-pemain dari Liga IPT tempatan dan diperkuatkan beberapa pemain profesional tempatan seperti Bunyamin Omar, Nor Hadi Ubaidillah, Hisyamudin Sha'ari dan Fahrul Razi Kamaruddin.

Malaysia mengakhiri cabaran di tempat ke-12 keseluruhan, sama seperti edisi 2007 di Bangkok, Thailand. Keputusan Malaysia sepanjang pertandingan:

Peringkat kumpulan:
Malaysia 1 Brazil 2
Malaysia 1 Ukraine 2
Malaysia 0 Rusia 2

Penentuan 9/16
Malaysia 1 Thailand 1 (menang penalti 4-3)

Penentuan 9/12
Malaysia 0 Kanada 5
Malaysia 0 Republik Czech 5

Malaysia seterusnya layak ke Sukan Universiade 2013 yang akan diadakan di Kazan, Rusia.


TONY FERNANDES PEMILIK BARU QPR

Taikun Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes muncul pemilik baru kelab Liga Perdana Inggeris, Queen Park Rangers (QPR). Dengan pemilikan sebanyak 66%, beliau memperoleh kawalan kelab daripada pemilik sebelumnya; bos Formula 1, Bernie Ecclestone dan Flavio Briatore. Tony Fernandes akan bersama-sama Amit Bhatia untuk menentukan hala tuju kelab yang dikenali dengan jolokan R's itu.

Tony Fernandes & pengurus QPR, Neil Warnock.
Queen Park Rangers yang berpangkalan di London baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris musim ini setelah 15 tahun menghilang. QPR adalah pasukan London kelima dalam EPL musim ini selain Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspur dan Fulham.

Dengan sasaran kelab itu untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris musim depan, beliau dijangka melaburkan wang untuk mendapatkan pemain berpengalaman untuk membantu pasukan seperti Scott Parker.

Tony Fernandes adalah penyokong kelab West Ham United. Beliau juga merupakan pemilik pasukan Formula 1 Lotus Racing.

Sejauh mana pemilikan ini mampu membantu bola sepak Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya.

Sekian. Jumpa lagi di lain waktu dan ketika.

2 comments:

chanz said...

haha bagus ar. teruskan berita bola sepak ini~

Din_diet said...

orait.tapi penat la sikit sebab klu berita ni mmg panjang.huhu

p/s: btw.ramai dh rakyat malaysia jd fanboys QPR.siap duk kacau page QPR kat facebook suh amik Khairul Fahmi dgn Safee Sali main.rofl