Wednesday, November 30, 2011

Gary Speed (1969-2011)

Salam Sejahtera.
Hmm. Artikel bola sepak lagi. Tapi tak apa la.
Kolum Persona minggu ini membawakan kepada anda semua seorang bekas pemain dan pengurus bola sepak yang cukup dihormati ramai, iaitu mendiang Gary Speed.


Dunia bola sepak dikejutkan dengan kematian mengejut pengurus pasukan kebangsaan Wales, Gary Speed Ahad lalu. Beliau ditemui mati tergantung di rumahnya. Namun siasatan polis mendapati tiada petanda mencurigakan (maksudnya beliau dipercayai membunuh diri). Speed meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki.


Tambah tragis, beberapa jam sebelum itu, Speed sempat tampil di rancangan televisyen Football Focus dan kelihatan ceria seperti biasa. Nampaknya – di sebalik wajah yang tersenyum, resah hati yang berkecamuk tiada siapa yang tahu.
Saat terakhir Gary di TV

Dilahirkan di Mancot, Wales pada 8 September 1969, Gary Speed membesar sebagai seorang penyokong Everton. Berikut adalah ringkasan karier beliau.

Leeds United (1988 – 1996; 312 perlawanan dan 57 gol)

Juara Divisyen 1 1991/1992 - Leeds United. Speed (paling depan, kedua dari kanan)

Menyertai Leeds pada 1988 sebagai pemain remaja, Speed muncul salah seorang tonggak Leeds United yang menjuarai Liga Divisyen Satu (kini Liga Perdana Inggeris) pada 1992. Ini adalah kejuaraan pertama dan terakhir yang dimenangi beliau.

Everton (1996 – 1998; 65 perlawanan dan 17 gol)

Pada 1996, Speed berpindah ke kelab impian beliau Everton. Beliau dilantik sebagai kapten kelab. Bagaimanapun, beliau hanya sempat berada di Goodison Park dua tahun.

Newcastle United (1998 – 2004; 284 perlawanan dan 40 gol)

Di St James Park, Speed muncul anggota skuad Magpies yang menjadi naib juara Piala FA kepada Arsenal (1998) dan Manchester United (1999). Beliau sempat beraksi dalam Liga Juara Juara Eropah pada musim 2002-2003.

P/S: Ketika ini Roman Abramovich masih belum tahu kewujudan Chelsea. Arsenal masih lagi belum kemarau piala.

Bolton Wanderers (2004 – 2008; 139 perlawanan dan 14 gol)

Ketika berusia 35 tahun, Speed menyertai pasukan Trotters. Beliau melakukan penampilan ke-500 dalam Liga Perdana ketika Bolton menewaskan West Ham United 4-0. Pada tahun 2007, beliau mula berjinak-jinak dengan kejurulatihan.

Sheffield United (2008 – 2010; 40 perlawanan dan 6 gol)

Gary Speed yang kini berusia 39 tahun (!!) kemudian berpindah ke kelab Liga Kejuaraan Sheffield United. Setelah gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Speed memutuskan untuk beralih kepada kejurulatihan dengan sokongan pengurus Kevin Blackwell. Pada usia 41 tahun, akhirnya beliau mengumumkan persaraan sepenuhnya sebagai pemain.

Setelah Blackwell dipecat pada awal musim 2010-2011, Speed dilantik sebagai pengurus kelab. Pada Disember 2010, Speed dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan Wales menggantikan John Toshack.

1995 - perhatikan Ryan Giggs (kanan). Masa ni Giggs belum lagi selingkuh.


Karier Antarabangsa
Sejak penampilan pertama pada 1990 ketika menentang Costa Rica, Speed terus beraksi untuk pasukan kebangsaan Wales sehingga bersara pada 2004. Beliau muncul sebagai pemain paling banyak mewakili pasukan kebangsaan Wales, 85 perlawanan dalam 14 tahun (kedua keseluruhan).
Sebagai pengurus Wales

Sebagai pengurus Wales, Speed sempat bertugas untuk 10 perlawanan termasuk kekalahan tipis 0-1 kepada England dalam kelayakan Euro 2012. Perlawanan terakhir Speed adalah kemenangan 4-1 Wales ke atas Norway pada 12 November lalu.

Sepanjang hidup beliau, Speed adalah seorang profesional yang sangat berdedikasi dan bersih tanpa sebarang kontroversi. Hanya Ryan Giggs dan David James beraksi dalam Liga Perdana Inggeris lebih kerap dari beliau (535 perlawanan). Beliau turut dianugerahkan pingat MBE (Member of the Order of the British Empire) pada 2010.

Pengiktirafan diraja (MBE)

Pemergian beliau ditangisi ramai rakan pemain dan penyokong. Satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak.
Shay Given menangis sebelum perlawanan Aston Villa dan Swansea.
Robbie Savage menangis dalam TV.

Sebagai penyokong Newcastle United, aku berasakan Gary Speed adalah seorang pemain yang sangat hebat dan dikagumi kerana selain namanya yang kool (Speed = laju), aksi beliau di padang juga memang memikat. Beliau juga seorang yang sangat komited tidak kira di padang latihan mahupun perlawanan sebenar. Mungkin ini sebabnya beliau masih mampu bermain bola sepak secara kompetitif pada usia 40 tahun tatkala rakan seusianya ramai yang sudah bersara.

Gary Speed & Sir Bobby Robson: dua-dua dah jadi arwah.

Pengajaran daripada kisah beliau:
1) Orang yang berusaha gigih dan komited dalam setiap apa yang dilakukan akan berjaya dan dikagumi orang lain.
2) Jauhkan diri daripada kontroversi terutama sekali jika anda orang yang popular.
3) Bunuh diri bukanlah cara menyelesaikan masalah stress dan lain-lain. Ingatlah wahai orang-orang Islam.
4) Jika anda ada sebarang masalah dunia, janganlah pendamkan ia. Sila dapatkan bantuan atau berbincang dengan ahli keluarga dan rakan yang sedia membantu.
5) Sentiasa ingat Tuhan di masa senang dan juga susah.

Sekian.

Gary Speed RIP
(8 September 1969 – 27 November 2011)
Sumber: The Guardian, Daily Mail dan wikipedia.

No comments: