Thursday, April 26, 2012

Papiss Cisse: Tujuan Saya Bermain Bola Sepak


Papiss Cisse meraikan jaringan

Salam Sejahtera. 

Penyerang Newcastle United, Papiss Cisse mendedahkan tujuan utama beliau bermain bola sepak – membantu ahli keluarganya seramai 70 orang di Senegal.

Bagi Cisse, kesusahan hidup yang bakal dihadapi orang tersayang tidak dapat dibandingkan dengan kesukaran perlawanan Liga Perdana Inggeris jika karier bola sepak beliau gagal.

Newcastle United mungkin sedang bertarung merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan tetapi bagi beliau, kesejahteraan keluarga beliau adalah keutamaannya.


Cisse, 26, menyediakan rumah, menampung perbelanjaan harian, membayar bil utiliti dan menolong ahli keluarganya yang jatuh sakit.

Tegas Cisse, “Bola sepak adalah segalanya bagi saya. Saya tidak tahu apa yang akan saya buat tanpanya (bola sepak). Saya bersyukur kepada Tuhan atas segala kurniaNya dalam membantu saya mencapai impian saya.”

  Kesyukuran pada Tuhan

 “Saya seorang yang taat pada agama. Saya bersyukur pada Tuhan yang telah mengurniakan saya bakat dalam bola sepak kerana tanpanya, keluarga saya pasti tidak mampu meneruskan hidup.”

 “Bola sepak adalah cahaya di hujung terowong yang memberikan saya peluang untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.”

 “Saya berasal daripada sebuah keluarga yang besar. Saya telah bermain bola sepak di jalanan bersama rakan-rakan dari usia muda lagi.”

 “Saya berjaya memasuki sekolah yang bagus tetapi keluarga saya bukan orang kaya. Setelah memasuki akademi bola sepak tempatan barulah saya mempunyai kasut but sendiri.”

Antara gol jaringan Cisse setakat ini

 “Saya tidak pernah lupa pada asal-usul saya dan saya berasa bangga kerana mampu menolong keluarga saya. Hanya saya yang mampu membantu dari segi kewangan.”

 “Saya ada kira-kira 70 orang saudara mara di Casamese, selatan Senegal. Apa yang patut saya lakukan?”

 “Saya belajar bermain bola sepak, lalu kini saya boleh membantu mereka. Saya membina rumah untuk mereka, menanggung perbelanjaan harian dan menolong jika ada sesiapa yang sakit.”

Cisse, dengan 11 gol dalam hanya 10 penampilan bersama Newcastle, dulunya hanya seorang budak lelaki yang bermain bola sepak sambil berkaki ayam di celah-celah lorong ibu kota Dakar.

Newcastle membayar 10 juta pound kepada 
SC Freiburg untuk Papiss Cisse 

Penyerang Senegal itu sedar bahawa beliau perlu berusaha memenuhi jangkaan peminat terhadap jersi keramat nombor 9 yang pernah dipakai oleh lagenda Toon Army seperti Jackie Milburn, Malcolm Macdonald dan Alan Shearer.

Bagi Cisse, jersi nombor 9 memberikan beliau inspirasi untuk menempatkan dirinya sebagai salah seorang lagenda di Tyneside nanti.

Kata Cisse, “Menyarung jersi nombor 9 di mana-mana kelab adalah satu cabaran hebat kerana jersi ini sering dikaitkan dengan bintang terhebat.”

 “Saya tahu Alan Shearer pernah memakai nombor 9 dan beliau ialah seorang penyerang yang hebat. Saya berasa teruja memakai nombor yang masyhur ini dan oleh sebab itulah saya ingin lebih berjaya.”

“Jersi nombor 9 memberikan peluang kepada anda untuk menjadi lagenda di kelab ini. Saya hanya tiba di sini baru-baru ini tetapi saya berharap pada masa depan, penyokong Newcastle dapat berbangga dengan seorang pemain Senegal berjersi nombor 9 yang menjaringkan banyak gol penting.“

 “Saya sangat gembira jika nama saya dapat disebut sebaris dengan Alan Shearer apabila saya meninggalkan kelab ini suatu hari nanti.”

 
Alan Shearer (1996-2006) - lagenda Tyneside

 “Sejak saya menyertai Newcastle, saya mendapati kelab ini sangat menakjubkan dan saya berasa lebih senang menyesuaikan diri di sini.”

 “Ada yang berkata penyokong Newcastle agak gila tetapi apa yang saya mahu adalah membuatkan mereka gila dengan jaringan gol.”

 “Di Afrika, adalah sesuatu yang normal jika penyokong di stadium bersorak tanpa berbaju, tetapi dengan keadaaan cuaca sejuk di Newcastle, saya tidak sangka keadaan ini turut terjadi.”

 “Ini membuatkan saya berasa dekat dengan kampung halaman. Keghairahan penyokong merangsang kami (pemain-pemain) untuk bermain dengan lebih baik.”

 “Di England, keghairahan penonton bola sepak di stadium lebih hebat berbanding di Jerman dan saya menyukainya.”

Gandingan penyerang kembar Senegal - Papiss Cisse dan Demba Ba

Gandingan Cisse bersama rakan senegara Demba Ba telah membuka luas perebutan tempat ke Eropah dan beliau teruja dengan prospek beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Beliau menambah, “Kami boleh mendapatkan kedudukan empat teratas dalam Liga.”

 “Kelab ini memang berhak beraksi di Eropah tetapi Liga Juara-Juara Eropah sudah pasti lebih baik. Inilah yang patut kami jadikan sebagai sasaran.”


Howay The Lads!

Artikel asal dipetik dari The Sun.

No comments: