Tuesday, January 8, 2013

Menjelang Liga Malaysia: Liga Super 2013

Salam Sejahtera.

Saingan Liga Super bagi musim 2013 akan bermula secara rasminya pada 8 Januari ini. Pelbagai drama, kontroversi dan permainan yang menarik (harapnya) akan disajikan kepada peminat bola sepak tempatan dari bulan Januari sehingga Julai ini.

Juara 2012, Gomo Kelate Gomo



Juara bertahan, Kelantan akan berusaha mengintai kejuaraan Liga Super untuk kali ketiga berturut-turut. Walaubagaimanapun, tentangan sengit dijangka akan datang daripada pasukan bintang Darul Takzim FC, Selangor dan Lions XII. Pasukan lain seperti Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak juga tidak boleh diambil mudah. Pasukan kelab seperti PKNS dan Felda United pula pasti tidak rela dianggap sebagai pelengkap sahaja.

Selain daripada perebutan takhta liga, pasukan di kelompok bawahan juga akan berjuang habis-habisan bagi mengelak diturunkan ke Liga Premier. Dua pasukan terbawah liga akan menjadi mangsa tahun ini.

Mari kita tinjau prospek pasukan-pasukan yang bertanding tahun ini.

 ATM memang Manchester City Malaysia! #fakta

ATM FA
Pencapaian 2012: Juara Liga Premier
Jurulatih: B. Sathianathan
Kapten: Hairuddin Omar
Import: Marlon Alex James (St. Vincent & The Grenadines), Bruno Martelotto (Argentina)

Tahun 2012 merupakan tahun gemilang buat 'The Gladiators' apabila berjaya layak ke Liga Super dan muncul naib juara Piala Malaysia, hasil daripada pelaburan besar yang dilakukan. Walaupun tanpa beberapa pemain utama musim lalu, mereka yakin mampu mencapai sasaran kedudukan empat teratas dalam liga musim ini.

Fokus Pemain: Shukor Adan. Pemain veteran yang cukup berpengalaman ini akan memainkan peranan penting di barisan pertahanan selepas ketiadaan Aidil Zafuan Radzak dan Azmi Muslim.

FELDA UNITED FC
Pencapaian 2012: tempat ke-10
Jurulatih: K. Devan
Kapten: Mohd Khaironnisam Shahabudin Husain
Import: Mohammed Ghaddar (Lubnan), Carlos Robert Pereira Alves Jr (Brazil)

Komitmen tinggi dituntut oleh pihak pengurusan bagi memastikan Felda United mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain musim ini. Skuad  yang dikenali dengan nama 'The Settlers' ini berazam membaiki pencapaian tempat ke-10 tahun lalu sambil meletakkan sasaran satu piala pada bahu K. Devan.

Fokus Pemain: Adakah Mohammed Ghaddar mampu menandingi prestasi musim lepas dalam sebuah pasukan yang berbeza? Beliau menjaringkan 21 gol dalam 32 perlawanan untuk Kelantan musim lalu.

 Jersi Barcelona yang kena simbah cat merah = jersi Darul Takzim FC

JOHOR DARUL TAKZIM FC (dahulu dikenali sebagai Johor FC)
Pencapaian 2012: tempat ke-9
Jurulatih: Fandi Ahmad
Kapten: Safiq Rahim
Import: Daniel Guiza (Sepanyol), Simone Del Nero (Itali)

Kelab yang dibina di atas 'runtuhan' Johor FC ini menjadi fenomena terbaru dalam arena bola sepak Malaysia. Dengan himpunan pemain terbaik dari dalam dan luar negara, mereka berada dalam landasan tepat untuk kembali memartabatkan Johor di persada bola sepak tanah air. Sekurang-kurangnya satu piala harus dijulang untuk menjustifikasikan pelaburan besar ini.

Fokus Pemain: Selepas terkeluar dari pasukan Terengganu dan Harimau Malaya akibat masalah tertentu, Muslim Ahmad sudah pasti mahukan tahun 2013 yang lebih baik untuk karier beliau.

treble 2013, ada berani?

KELANTAN FA
Pencapaian 2012: Juara Liga Super
Jurulatih: Bojan Hodak
Kapten: Mohd Badri Mohd Razi
Import: Keita Mandjou (Guinea), Obinna Nwaneri (Nigeria), Lek Kcira (Croatia)*, Dimitri Petratos (Australia)*

Kejayaan menjulang kejuaraan 'treble' musim lalu mengesahkan status The Red Warriors selaku kuasa baru bola sepak tanah air. Cabaran tahun ini bagaimanapun lebih sukar dengan kebangkitan pasukan lain dan kehilangan beberapa tonggak utama tahun lalu. Walau apa jua yang berlaku, peminat setia mereka akan tetap berdiri teguh di belakang pasukan.

Fokus Pemain: Keita Mandjou berdepan tugas berat untuk mengetuai jentera serangan Kelantan dan menggantikan gol-gol yang dijaringkan Ghaddar dan Mat Yo tahun lalu.

LIONS XII FC
Pencapaian 2012: Naib Juara Liga Super
Jurulatih: V. Sundramoorthy
Kapten: Shahril Ishak
Import: -

Permainan mantap yang ditunjukkan mereka musim lalu mengundang rasa cemburu dan benci khalayak peminat bola sepak tempatan. Gandingan pemain senior kebangsaan dan pemain bawah 23 tahun yang masih segar dengan kejuaraan Piala AFF tempoh hari akan memberikan cabaran hebat kepada pasukan tempatan.

Fokus Pemain: Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan menolak tawaran lumayan kelab-kelab Thailand untuk kekal dalam pasukan Lions XII sebagai 'mentor' kepada pemain-pemain muda yang merupakan majoriti dalam skuad kali ini.

Pembenci akan terus membenci

NEGERI SEMBILAN FA
Pencapaian 2012: tempat ke-6
Jurulatih: Divaldo Alves
Kapten: Norhafiz Zamani Misbah
Import: William Paul Modibo (Cameroon), Emmanuel Matias De Porras (Argentina)

Persiapan Negeri Sembilan untuk musim 2013 berjalan lancar bersama bekas jurulatih Persebaya, Divaldo Alves dari Portugal. Beliau menekankan disiplin dan kerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha membentuk kesebelasan yang mantap. Beberapa pemain baru seperti Eddy Helmi Manan dan Hamsani Ahmad menggantikan pemain seperti S Kunalan dan Farizal Marlias yang tamat kontrak.

Fokus Pemain: Emmanuel De Porras perlu beraksi sebaik mungkin bagi memastikan sentuhan Effa Owona tidak lagi dirindui peminat Jang.

PAHANG FA
Pencapaian 2012: Naib Juara Liga Premier
Jurulatih: Dollah Salleh
Kapten: Jalaluddin Jaafar
Import: Mohammed Borji (Maghribi), Nikolche Klechkaroski (Macedonia)

Kombinasi Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan merencana strategi akhirnya berhasil membawa skuad Tok Gajah kembali ke Liga Super. Gandingan penyerang import baru dan beberapa pemain tempatan baru akan mengukuhkan pasukan yang masih lagi mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu.

Fokus Pemain: Pahang mungkin mampu menjadi tempat Amirul Hadi Zainal kembali melonjakkan nama beliau semula selepas tahun 2012 yang mengecewakan.

"Akhirnya kita layak secara merit!" jerit pemain Pahang

PERAK FA
Pencapaian 2012: tempat ke-4
Jurulatih: Azraai Khor Abdullah
Kapten: Shahrulnizam Mustapha
Import: Karim Rouani (Perancis), Rafael Silva (Brazil)

Berikutan prestasi mengecewakan dalam kempen Piala Malaysia yang lalu, Perak hanya mengekalkan 10 pemain musim lalu untuk tahun 2013. Azraai Khor Abdullah perlu bekerja keras untuk membentuk semula sebuah pasukan Seladang yang mantap.

Fokus Pemain: Penjaring terbanyak Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya berpeluang untuk kembali menemui sentuhan jaringan selepas agak kurang menjadi tahun lalu.

PKNS FC
Pencapaian 2012: tempat ke-7
Jurulatih: Abdul Rahman Ibrahim
Kapten: Mohd Fadhil Mohd Hashim
Import: Helmi Loussaief (Tunisia), Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia)

Kehadiran beberapa pemain baru meyakinkan barisan Semut Merah untuk mensasarkan tempat kelima liga tahun ini. Sudah pasti jurulatih veteran Abdul Rahman Ibrahim telah merencana persiapan terbaik untuk memastikan anak buahnya mampu memberi saingan kali ini.

Fokus Pemain: Bekas penyerang Sime Darby, Patrick Ronaldinho yang cemerlang dalam kancah Liga Premier tahun lalu akan teruji keupayaannya dalam saingan Liga Super yang lebih berprestij.

Sekolah Bola Selangor, kelas 2013

SELANGOR FA
Pencapaian 2012: tempat ke-3
Jurulatih: Irfan Bakti
Kapten: Mohd Asraruddin Putra Omar 
Import: Francis Forkey Doe (Liberia), Ramiez Dayoub (Lubnan), Michal Kubala* dan Peter Chrappan (Slovakia)*

Abdul Shukor Jusoh, S Kunalan, Forkey Doe dan Mahali Jasuli adalah antara nama baru yang disenaraikan skuad Gergasi Merah 2013 setelah gagal menjulang sebarang piala pada tahun lalu. Irfan Bakti perlu memastikan setiap pemain kekal komited dalam usaha Red Giants menjulang sekurang-kurangnya satu piala tahun ini.

Fokus Pemain: Hantaran lintang dan larian deras dari bahagian belakang Mahali Jasuli kini boleh disaksikan dalam Liga Malaysia.

TERENGGANU FA
Pencapaian 2012: tempat ke-5
Jurulatih: E. Elavarasan
Kapten: Mohd Faizal Mohammad 
Import: Jean-Emmanuel Effa Owona dan Vincent Bekana (Cameroon)

Perjalanan musim 2012 skuad Penyu lebih banyak dipenuhi cerita-cerita kontroversi daripada pemain dan pengurusan. Musim ini, Anak buah E. Elavarasan pasti akan turun habis-habisan untuk memulihkan maruah bola sepak Terengganu sekaligus mengembalikan keceriaan para penyokong setia mereka.

Fokus Pemain: Posisi penjaga gol utama Terengganu yang dikosongkan Sharbinee Allawee kini menjadi rebutan antara Wan Mohd Azraie Wan Teh, Syed Adney Syed Hussein dan Syarmiza Yusof.

Peter Butler bersama ahli revolusi Inggeris di T-Ting

TERENGGANU PBDKT/T-TEAM FC
Pencapaian 2012: tempat ke-8
Jurulatih: Peter Butler
Kapten: George Boateng
Import: George Boateng (Belanda), Caleb Folan (Ireland)

T-Team 'The Titans' yakin mereka mampu meninggalkan impak besar tahun ini dengan gabungan pemain muda tempatan dan pemain berpengalaman seperti Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad. Suntikan tajaan bernilai RM 6 juta mampu menjadi pembakar semangat kepada pasukan ini beraksi cemerlang.

Fokus Pemain: Tugas menjaringkan gol terletak di bahu Caleb Folan, yang pernah mewakili beberapa kelab Liga Inggeris seperti Chesterfield, Wigan Athletic dan Hull City.

Nota:
Selain itu, Kelantan dan Selangor juga akan membawa cabaran Malaysia dalam Piala AFC 2013. Pencapaian terbaik pasukan dari Malaysia dalam pertandingan ini sebelum ini adalah mara ke suku akhir sebelum tunduk kepada kelab-kelab dari Asia Barat. 

*Pasukan yang bermain dalam Piala AFC dibenarkan menurunkan sehingga 4 pemain import, namun hanya 2 orang yang boleh disenaraikan bagi kempen Liga Super.

Sama ada anda penyokong setia, penyokong lama, penyokong baru, penyokong lalang, bandwagoners atau pun glory hunters, sila penuhkan stadium-stadium di tempat anda.
p/s: kat atas ni glory hunters atau penyokong setia?


Sekian. Majulah sukan untuk negara!

No comments: