Monday, August 4, 2014

Album Nasyid Terbaru di Pasaran #2

Kali ini mari kita lihat beberapa album pilihan yang telah memasuki pasaran muzik tempatan sepanjang tahun ini. Dapatkan segera pilihan anda di gedung-gedung muzik seluruh negara mahupun secara atas talian di iTunes.

Kini boleh download secara halal di atas talian. Contohnya menerusi iTunes.



Hijjaz - The Best of Hijjaz


Album kompilasi ini memuatkan lagu-lagu terbaik Hijjaz sejak mereka mula berkarya pada tahun 1997. Beberapa buah lagu seperti Rindu, Rasulullah, Sumayyah dan Fatamorgana juga turut diberikan nafas baru dalam album kali ini.

UNIC - The Best of UNIC

Warna jingga ini pantas mengingatkan saya kepada Belanda..

Sebuah lagi album kompilasi terbaru terbitan Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB). Album ini menghimpunkan lagu-lagu hit kumpulan UNIC daripada album pertama mereka, You and I See hingga album terakhir mereka bersama HRSB, Langkah Tercipta. 

Nowseeheart - Kasih Tak Bersyarat


Album kompilasi yang seterusnya pula adalah daripada kumpulan Nowseeheart. Sebanyak tujuh buah lagu disenaraikan dalam album ini termasuk Kasih Tak Bersyarat, Damai Yang Hilang dan Inspirasi.

Pelbagai Artis - Al-Nuraa... Yang 5... Yang 6... 


Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, album ketuhanan ini melibatkan ramai artis seperti Mawi, Hazama, Amy Search, Dato' AC Mizal, Opick dan ramai lagi. Sebuah lagu terbaru bertajuk "Al-Nuraa.. Yang 5... Yang 6..." dendangan Mawi, Hazama dan Daly Filsuf turut diselitkan. 

Imam Muda Hassan feat. Suflife - Al Fatih 1453


Masih ingat tentang kumpulan Suflife? Mereka pernah tampil bersama kumpulan Ae-One pada tahun 2006 dalam album Terima Kasih Ya Adnan. Kali ini Suflife berkolaborasi pula bersama Imam Muda Hassan menerusi buah tangan terbaru mereka, Al Fatih 1453. Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Terima Daku Seadanya dan Al Fatih 1453.

Edcoustic - Ku Pergi

Tagline Edcoustic: Inspiring People

Album keempat kumpulan Edcoustic menampilkan lapan buah lagu termasuk lima lagu baru. Album ini bolehlah dianggap sebagai satu 'tribute' kepada Allahyarham Eden . Walaupun beliau telah pergi, diharapkan agar lagu-lagu yang pernah disampaikan oleh beliau mampu untuk memberikan manfaat untuk kita semua.

Sigma - Istikharah Cinta

Ramai (terutamanya gadis) yang minat lagu Istikharah Cinta ni.

Sebuah lagi kumpulan nasyid dari Indonesia tampil dengan album pertama mereka. Selain lagu popular mereka Istikharah Cinta, lagu lain yang dijangka menarik perhatian adalah lagu bertajuk "Hati" yang disampaikan secara duet bersama Hafiz Hamidun.

Hijjaz - Pelita Hidup 6 : Demi Islam & Perjuangan

Kandungan dua album ini hampir sama sepenuhnya. (Foto: Nasyidkini)

Walaupun sudah dipasarkan sejak hujung tahun lalu, peristiwa siri serangan terbaru Israel ke atas Gaza menjadikan album ini sesuai untuk diimbas kembali. Antara lagu dalam album ini termasuk Anak Gaza (nukilan lirik oleh Ustaz Azhar Idrus) dan Pejuang Al Qassam yang menjadi fenomena di youtube.

Versi alternatif album ini turut diterbitkan dengan tambahan beberapa lagu dendangan Firqah Al-Waad dari Palestin. Hasil jualan album yang diberi nama "Keranamu Baitulmaqdis" ini akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Gaza kelolaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

No comments: