Salam Sejahtera.
Arena bola sepak Malaysia kembali bergegar (agaknya lah) minggu ini setelah berehat kira-kira dua bulan sempena kejohanan Piala Dunia di Brazil yang disusuli sambutan Ramadhan dan Aidilfitri.
Piala Malaysia 2014 kembali dengan kehadiran 16 pasukan terbaik sepanjang musim akan berentap untuk menentukan siapa yang paling layak menjulang piala yang penuh berprestij ini.
Setelah dua bulan berehat tanpa sebarang aksi kompetitif, pasukan mana yang akan menemui rentak terlebih dahulu? Penjadualan Piala Malaysia tahun ini juga agak kelam kabut dengan enam perlawanan peringkat kumpulan dilangsungkan dalam masa cuma tiga minggu (13 Ogos - 3 September) diikuti peringkat suku akhir dan seterusnya akan dijalankan pada bulan Oktober. Ini disebabkan oleh penyertaan skuad bawah 23 tahun kebangsaan dalam acara bola sepak Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan.
Saingan Piala Malaysia ini juga adalah peluang terakhir bagi mana-mana pemain untuk memikat hati Dollah Salleh untuk tugasan penting pertama beliau selaku jurulatih Harimau Malaya. Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 menyaksikan Malaysia diundi dalam kumpulan sukar bersama pasukan tuan rumah Singapura, Thailand dan juara pusingan kelayakan.
Berbalik kepada topik asal, apakah yang akan terjadi pada Piala Malaysia kali ini? Mampukah Pahang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu?
Kumpulan A
Ramalan: 1. Pahang 2. Felda United 3. Lions XII 4. JDT II
Ramalan: 1. Pahang 2. Felda United 3. Lions XII 4. JDT II
Pahang pasti turun sebagai antara pasukan pilihan untuk mepertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu di samping menambah koleksi piala mereka setelah memenangi Piala FA Jun lalu.
Tanpa kelibat pemain senior, Lions XII hanya menamatkan saingan di tempat ke-8 tetapi Stadium Jalan Besar masih lagi menjadi mimpi ngeri bagi sebahagian besar pasukan tempatan.
Felda United berazam untuk mara sejauh mungkin dalam kempen kali ini untuk melengkapkan musim yang cemerlang setelah muncul naib juara Piala FA dan layak ke Liga Super 2015.
Memiliki ranking paling rendah dalam senarai pasukan bertanding (tempat ke-5 Liga Perdana) tidak bermakna Johor Darul Takzim II (JDT II) akan tunduk dengan mudah tanpa melawan.
Kumpulan B
Ramalan: 1. Terengganu 2. Sarawak 3. Perak 4. Kedah
Ramalan: 1. Terengganu 2. Sarawak 3. Perak 4. Kedah
Rekod Terengganu dalam dua edisi terakhir Piala Malaysia agak mengecewakan setelah mereka terkandas pada peringkat kumpulan untuk dua tahun berturut-turut. Bagaimana pula tahun ini?
Sarawak sekali lagi memasang impian untuk mara ke separuh akhir namun anak buah Robert Alberts perlu bekerja keras untuk mencapai cita-cita mereka.
Peminat The Bos Gaurus pula berharap kebangkitan yang ditunjukkan Perak pada peringkat akhir Liga Super tempoh hari dapat diteruskan untuk kempen Piala Malaysia kali ini.
Kedah selaku wakil tunggal Liga Perdana dalam kumpulan ini sudah tentu tidak rela dianggap sebagai pasukan pelengkap sahaja.
Kumpulan C
Ramalan: 1. JDT I 2. ATM 3. Kelantan 4. Pulau Pinang
Ramalan: 1. JDT I 2. ATM 3. Kelantan 4. Pulau Pinang
Kira-kira 10 bulan yang lalu, insiden ini terjadi
Bojan Hodak pasti mahu mengejar hatrik mara ke tiga perlawanan akhir Piala Malaysia berturut-turut akan dan merealisasikan hasrat Johor Darul Takzim I (JDT I) menjulang kejuaraan berganda tercapai.
2014 yang dianggap tahun peralihan bagi pasukan Kelantan tidak berjalan lancar seperti mana yang dirancang. Mampukah mereka bangkit untuk memberikan sedikit saguhati kepada penyokong mereka?
Seperti The Red Warriors, ATM juga berdepan prestasi hambar dalam kempen Liga Super. Finalis tahun 2012 dan Semifinalis tahun lalu ini perlu beraksi lebih baik sekiranya ingin mara ke peringkat seterusnya.
Pulau Pinang yang mendahului Liga Perdana pada satu ketika sebelum menamatkan saingan di tempat ke-3 akan menjadikan Piala Malaysia sebagai peluang menebus kekecewaan gagal layak ke Liga Super 2015.
Kumpulan D
Ramalan: 1. Selangor 2. Sime Darby 3. PDRM 4. T-Team
Ramalan: 1. Selangor 2. Sime Darby 3. PDRM 4. T-Team
Piala FA Inggeris 2005: Arsenal 2014: Arsenal
Piala Malaysia 2005: Selangor 2014: ?
Setelah terlepas gelaran Liga Super pada saat-saat akhir, Selangor kembali dengan agenda tahunan mereka dalam Piala Malaysia, iaitu Misi 33.
Walaupun tidak diberikan tumpuan, Sime Darby yang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-5 adalah sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja.
Tanpa Dollah Salleh yang dipancing FAM untuk mengendalikan Harimau Malaya, nasib Juara Liga Perdana, PDRM dipertaruhkan pada bahu penolong jurulatih mereka, Azman Adnan.
Bekas rakan sepasukan Azman, Anuar Abu Bakar pula ditugaskan sebagai pengendali T-Team sehingga akhir musim menggantikan Azraai Khor Abdullah yang meletak jawatan.
Selamat bertarung.
No comments:
Post a Comment