Monday, July 6, 2015

Album Nasyid Terbaru di Pasaran! #4

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.


Meskipun tahun 2015 sudah memasuki bulan ketujuh dan bulan Ramadhan pula sudah hampir melewati sepuluh hari terakhir, namun rasanya masih belum terlewat untuk kita meninjau album-album nasyid yang telah diterbitkan sejak awal tahun ini. 


Opick - Salam Rindu Ya Musthofa


Opick kembali lagi dengan album religi terbaharu beliau sempena kedatangan bulan Ramadhan tahun ini. Album yang diedarkan di Malaysia oleh Arteffects International ini menampilkan sembilan buah lagu berkonsepkan cinta kepada Rasulullah S.A.W.. Opick turut berduet bersama Hafiz Hamidun menerusi lagu Ya Rasulullah.

Brothers - Sabar


Kesabaran peminat nasyid menanti karya terbaru kumpulan Brothers sejak 2005 akhirnya membuahkan hasil dengan kemunculan album berjudul Sabar. Album yang menampilkan empat ahli asal kumpulan ini iaitu Yasin, Syah, Faiz dan Salleh memuatkan lima buah lagu baru di samping lagu-lagu terbaik mereka seperti Teman Sejati, Nur Iman, Doa Perpisahan dan Untukmu Teman.

Destiny - Indah


Album ini adalah album ketiga kumpulan Destiny, menyusuli album Destiny (2009) dan Bersama Rindu (2012). Album yang menggabungkan nasyid, selawat dan zikir dalam satu album ini menampilkan lagu baru seperti Indah di samping lagu-lagu popular kumpulan ini daripada album terdahulu yang diberikan susunan yang lebih segar seperti Hati Kata Rindu, Cinta Sepi Indah dan Arah.

Azhary - Kau Pelita Hati

Azhary ialah abang kepada penyanyi Hazami 
(Sonata Musim Salju & Mungkir Bahagia)

Sedar tak sedar, album ini juga merupakan album ketiga bagi penyanyi bernama Azhary ini (beliau tiada kaitan dengan Azahari Nowseeheart). Album edaran Universal Music ini menampilkan lagu baru seperti Kau Pelita Hati (duet bersama Hazami) dan Inginku Miliki di samping lagu popular beliau sebelum ini seperti Jika Ayah Tiada dan Cinta Kasih.

Hafiz Hamidun - I Love Rasulullah


Setelah merakamkan tiga buah album zikir terapi sebelum ini, Hafiz Hamidun kembali dengan album lagu yang pertama sejak merakamkan album Syukran pada 2011. Album terbaru beliau ini berkonsepkan cinta kepada Rasulullah S.A.W memuatkan sembilan buah lagu termasuk lagu Penyelamat, Bukti Cintaku dan Pemergian Rasul. 

Nowseeheart - Katakan


Kali terakhir muncul dengan album penuh menerusi album Berjalan, Melihat & Mentafsir pada tahun 2003, Nowseeheart akhirnya kembali dengan album terbaru berjudul Katakan. Antara sembilan lagu yang disenaraikan dalam album ini adalah Katakan, Fatwa Hati (menampilkan Jay Jay) dan Damai Yang Hilang yang diberi nafas baru. Lagu Damai Di Sana pula didedikasikan untuk arwah Bob yang meninggal dunia pada tahun lalu.

UNIC - The Greatest Hits


Walaupun kini hanya tinggal berdua, UNIC menerbitkan sebuah album kompilasi yang menyenaraikan lagu-lagu terbaik mereka sebelum ini seperti Seiring Sehaluan, Atas Nama Cinta, Bintang Syurga, Warkah Cinta dan banyak lagi. Turut disenaraikan dalam album ini beberapa buah lagu baru seperti Syamail Muhammadiah, Seindah Sabar dan Binnabil Huda "France Edition" menampilkan Mounir Le Rappel.

Rabbani - Koleksi Emas


Sebuah album kompilasi yang menghimpunkan 28 lagu terbaik kumpulan Rabbani sejak daripada awal kemunculan mereka sehingga kini. Selain itu, lagu Mawar Berdarah yang dinobatkan sebagai Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) pada tahun 2013 turut disenaraikan dalam album terbitan Inteam Records ini.

No comments: