Bahagian ketiga dalam siri laporan ini, menampilkan kelab yang disokong Din_diet, Newcastle United.
Seperti biasa, sistem pemarkahan SPM digunakan untuk menilai prestasi kelab-kelab Liga Perdana Inggeris sepanjang musim 2011/2012, walaupun tindakan ini dilakukan tanpa izin Lembaga Peperiksaan Malaysia.
NEWCASTLE UNITED (Tempat ke-5, layak ke Liga Europa 2012/2013)
Transformasi 1 Magpies
Prestasi cemerlang Newcastle musim ini mengejutkan banyak pihak termasuk penyokong setia mereka sendiri. Keupayaan Magpies mendapatkan pemain-pemain berkualiti dengan harga yang murah seperti Yohan Cabaye, Demba Ba dan Papiss Cisse membantu Newcastle kembali bersaing dengan pasukan kelompok teratas setelah agak lama tenggelam. Alan Pardew diiktiraf sebagai pengurus terbaik tahunan setelah membawa Newcastle mencapai kedudukan enam teratas buat kali pertama dalam tempoh 8 tahun.
Trivia: Newcastle United memulakan musim dengan 11 perlawanan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris, menyamai rekod mereka pada musim 1994/1995.
Pemain Terbaik: Tim Krul
Perpindahan Terbaik: Demba Ba (dari West Ham United)
Gred Markah Purata: A+
NORWICH CITY (Tempat ke-12)
Semangat Canaries perlu dicontohi pasukan Liga Super Kedah.
Kenapa mereka guna jersi dan gelaran yang sama?
Setelah dinaikkan divisyen dua musim berturut-turut, pengurus Paul Lambert sekali lagi bertindak cemerlang mengemudi Canaries ke kelompok pertengahan liga dalam musim pertama mereka dalam Liga Perdana sejak 2004/2005. Meskipun tanpa bintang terkenal, Norwich beraksi cemerlang untuk mengetepikan ramalan banyak pihak bahawa mereka bakal bergelut untuk mengelak penyingkiran. Berikutan prestasi cemerlang ini, Lambert telah dipilih oleh Aston Villa sebagai pengurus baru mereka.
Trivia: Hanya enam pasukan teratas Liga Perdana Inggeris menjaringkan lebih banyak gol daripada Norwich City musim ini (52 gol).
Pemain Terbaik: Grant Holt
Perpindahan Terbaik: Anthony Pilkington (dari Huddersfield Town)
Gred Markah Purata: A-
QUEENS PARK RANGERS (Tempat ke-17)
Air Asia untung, MAS rugi besaaarrr
Persembahan buruk QPR pada awal musim memaksa pemecatan pengurus Neil Warnock yang kemudiannya digantikan oleh Mark Hughes. Walaupun bergelut pada awalnya, Mark Hughes berjaya memastikan QPR kekal dalam Liga Perdana Inggeris untuk musim depan. Prestasi cemerlang di Loftus Road termasuk mengalahkan Liverpool, Tottenham dan Arsenal menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan. Ini adalah musim pertama QPR di Liga Perdana dalam tempoh 15 tahun.
Trivia: Sembilan kad merah dilayangkan kepada pemain QPR dalam Liga Perdana Inggeris musim termasuk masing-masing dua kepada Joey Barton dan Djibril Cisse.
Pemain Terbaik: Anton Ferdinand
Perpindahan Terbaik: Djibril Cisse (dari Lazio)
Gred Markah Purata: C
STOKE CITY (Tempat ke-14)
Ada pihak menganggap mereka sebagai pasukan ragbi
Stoke beraksi dalam kempen Liga Europa musim ini setelah muncul naib juara Piala FA 2011 dan mereka berjaya layak ke peringkat 32 terakhir. Bagaimanapun, Potters tampil mengecewakan dalam liga berikutan penglibatan mereka dalam Liga Europa. Perlawanan melibatkan Stoke juga sering dilabel membosankan. Ini berikutan kekurangan gerakan menyerang daripada anak buah Tony Pulis dan kecenderungan menggunakan 'long ball' yang kurang digemari peminat bola sepak secara umumnya.
Trivia: Stoke City adalah pasukan yang paling kurang menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini dengan hanya 36 gol.
Pemain Terbaik: Peter Crouch
Perpindahan Terbaik: Peter Crouch (dari Tottenham Hotspur)
Gred Markah Purata: C
SUNDERLAND (Tempat ke-13)
"Sayalah penyerang terbaik di dunia" - Nicklas Bendtner
Setelah hanya dua kali menang dalam 13 perlawanan pertama, pengurus Steve Bruce dipecat dan digantikan oleh Martin O'Neill. Kehadiran O'Neil segera mengubah nasib Sunderland yang bangkit mencatat 13 mata daripada 6 perlawanan selepas itu. Sunderland selepas itu kembali dalam kedudukan stabil sebelum kemerosotan prestasi pada penghujung musim menyebabkan Black Cats hanya mampu berada dalam kelompok pertengahan liga.
Trivia: Hanya Sunderland berjaya mencuri mata daripada Manchester City di Ettihad Stadium dalam Liga Perdana Inggeris musim ini apabila seri 3-3 pada 31 Mac 2012.
Pemain Terbaik: Stephane Sessegnon
Perpindahan Terbaik: James McClean (dari Derry City)
Gred Markah Purata: C+
Bersambung lagi.
Sabar. Dah nak habis dah. Hahaha
No comments:
Post a Comment