Sebelum bermulanya sepak mula musim baru bola sepak Eropah, apa kata kita lihat dahulu perkara yang telah terjadi kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris sepanjang musim 2011/2012, yang menyaksikan pelbagai elemen drama, kontroversi dan perlawanan yang mendebarkan.
Oh, dan penilaian prestasi ke atas kelab-kelab ini dibuat menggunakan gred SPM yang baharu. Selamat membaca.
ARSENAL (Tempat ke-3, Layak ke Liga Juara-Juara 2012/2013)
2011/2012 : Batman? Tak payah, kami dah ada Robin!
2012/2013: Robin dah tak ada.. Batman, tolong!
Permulaan buruk buat Gunners yang dibayangi spekulasi perpindahan Cesc Fabregas dan Samir Nasri. Hanya selepas itu Arsenal mula bangkit dengan gol-gol daripada Robin Van Persie dan aksi mantap beberapa pemain lain untuk akhirnya menduduki tempat ketiga liga. Akan tetapi, kemarau kejuaraan mereka berterusan untuk tahun ketujuh berturut-turut.
Trivia: Musim 2011/2012 menyaksikan jaringan gol Aaron Ramsey 'membunuh' Muammar Gaddafi, Steve Jobs dan Whitney Houston.
Pemain Terbaik: Robin Van Persie
Perpindahan Terbaik: Mikel Arteta (dari Everton)
Gred Markah Purata: A-
ASTON VILLA (Tempat ke-16)
Akibat memakai jersi judi negara Islam,
main bola pun macam gampang
Aston Villa menamatkan musim yang mengecewakan ini dengan hanya kelebihan dua mata di atas zon penyingkiran. Corak taktikal yang terlalu negatif, kemerosotan prestasi, kecederaan pemain utama dan kekurangan pengalaman pemain muda menyumbang kepada prestasi buruk Villa musim ini. Pengurus Alex McLeish telah dipecat sebaik musim ini berakhir.
Trivia: Aston Villa memecahkan banyak rekod musim ini - rekod negatif.
- Jumlah mata terendah Aston Villa dalam liga : 38 mata dari 38 perlawanan
- Jumlah kemenangan paling rendah dalam semusim : 7
- Jumlah mata di tempat sendiri : 19/57 (paling rendah dalam sejarah kelab)
Pemain Terbaik: Shay Given
Perpindahan Terbaik: Shay Given (dari Manchester City)
Gred Markah Purata: D
BLACKBURN ROVERS
(Tempat ke-19, Tersingkir ke Liga Kejuaraan 2012/2013)
Demo sebelum setiap perlawanan di Ewood Park -
Untunglah mereka, tak perlu risau tentang FRU & FAM
Pengurus yang tidak kompeten dan pemilik kelab yang buta bola sepak mencetuskan penganjuran demonstrasi oleh sebahagian penyokong Rovers di Ewood Park bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka ke atas pengurusan tertinggi kelab. Aksi tidak memuaskan anak buah Steve Kean terutamanya pada akhir musim memaksa mereka turun ke Liga Kejuaraan - setelah sebelas musim bersaing dalam Liga Perdana.
Trivia: Yakubu menjaringkan 17 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, mengatasi rekod peribadinya ketika bersama Portsmouth pada musim 2002/2003 (16 gol).
Pemain Terbaik: Yakubu Aiyegbeni
Perpindahan Terbaik: Yakubu Aiyegbeni (dari Everton)
Gred Markah Purata: G
BOLTON WANDERERS
(Tempat ke-18, Tersingkir ke Liga Kejuaraan 2012/2013)
Wandering into darkness..
Ketiadaan tonggak utama akibat kecederaan berpanjangan dan kerapuhan bahagian pertahanan adalah punca kejatuhan Bolton musim ini. Trotters bergelut di zon penyingkiran hampir sepanjang musim walaupun mendahului liga seketika pada hari pembukaan. Pada hari terakhir liga, anak buah Owen Coyle akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Perdana, juga selepas sebelas musim.
Trivia: Keputusan seri 1-1 menentang Wolves pada 31 Disember 2011 adalah keputusan seri pertama Bolton dalam 34 perlawanan sejak 26 Februari 2011 (1-1 menentang Newcastle United).
Pemain Terbaik: Martin Petrov
Perpindahan Terbaik: Ryo Miyaichi (dari Arsenal, pinjaman)
Gred Markah Purata: E
CHELSEA (Tempat ke-6, Layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2012/2013)
Janji ditepati - biarpun mereka tidak pernah berjanji
Percubaan pengurus Andre Villas-Boas (AVB) untuk menerapkan idea baru di Stamford Bridge agak kurang menjadi. Pergeseran yang dikatakan berlaku antara pengurus muda itu dengan pemain-pemain senior menyebabkan kemerosotan prestasi Chelsea. AVB kemudiannya dipecat dan digantikan oleh penolongnya yang juga bekas pemain Chelsea, Roberto Di Matteo. Di Matteo berjaya memenangi Piala FA serta piala idaman Roman Abramovich - Liga Juara-Juara Eropah.
Trivia: Pencapaian tempat ke-6 musim ini adalah kedudukan terendah Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris sejak Roman Abramovich menjadi pemilik kelab London itu.
Pemain Terbaik: Frank Lampard (Didier Drogba di Eropah)
Perpindahan Terbaik: Juan Mata (dari Valencia)
Gred Markah Purata: B (A+ di Eropah)
Bersambung..
2 comments:
gile chelsea A+
Roman mesti terkejut apabila pengurus Chelsea yg paling tak terkenal bawa pulang Liga Juara-Juara. KTFBBH! Haha.
Post a Comment