Kita masih lagi bercakap tentang Liga Perdana Inggeris.
Akan tetapi, janganlah kita lupa kepada bola sepak tempatan kita. Usah pedulikan FAM tetapi sokonglah pasukan tempatan kesayangan anda dan juga Harimau Malaya.
Penilaian untuk mereka masih lagi menggunakan gred SPM terbaru.
Bagi Liga Perdana Inggeris pula, ini adalah kali pertama kejuaraan ditentukan menerusi perbezaan jaringan. Kali terakhir juara liga Inggeris ditentukan menerusi cara ini adalah pada musim 1988/1989 (Divisyen Satu ketika itu) yang dimenangi Arsenal mengatasi Liverpool.
EVERTON (Tempat ke-7)
Gelombang biru melanda bandar Liverpool
Seperti musim-musim sebelumnya, Everton bermula dengan perlahan. Memasuki tahun 2012, Toffees kembali cemerlang dengan kepulangan Steven Pienaar dan kemunculan ayam tambatan baru Nikica Jelavic untuk mara ke separuh akhir Piala FA dan kedudukan tempat ke-7 dalam liga. Pengurus David Moyes sekali lagi cemerlang walaupun terpaksa berdepan dengan kekangan bajet.
Trivia: Everton menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kedudukan lebih baik berbanding musuh setempat Liverpool buat kali pertama sejak musim 2004/2005.
Pemain Terbaik: Marouane Fellaini
Perpindahan Terbaik: Nikica Jelavic (dari Rangers)
Gred Purata Markah: B+
FULHAM (Tempat ke-9)
Clint Dempsey - 'Captain America' yang tidak membintangi The Avengers
Musim yang bercampur-campur bagi Fulham apabila tersingkir pada saat-saat akhir dalam peringkat kumpulan Liga Europa, namun Cottagers berjaya menduduki kelompok 10 teratas liga di bawah bimbingan Martin Jol. Persembahan mantap Clint Dempsey semakin menjadi bualan ramai dan beliau mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah.
Trivia: Pada 2 Oktober 2011, Fulham mencatat hatrik pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris apabila 3 gol Andy Johnson membantu menundukkan musuh setempat Queens Park Rangers 6-0.
Pemain Terbaik: Clint Dempsey
Perpindahan Terbaik: Pavel Pogrebnyak (dari VfB Stuttgart)
Gred Purata Markah: B
LIVERPOOL (Tempat ke-8, Layak ke Liga Europa 2012/2013)
Liverpool menang lebih banyak piala daripada Manchester United tahun ini
Meskipun berjaya menjuarai Piala Carling dan muncul naib juara Piala FA, kontrak lagenda kelab 'King' Kenny Dalglish ditamatkan berikutan prestasi mengecewakan The Reds dalam liga (kedudukan terendah dalam 18 tahun). Masalah mereka musim ini termasuk persembahan yang mengecewakan terutamanya di Anfield dan juga perbelanjaan besar untuk pemain baru yang tidak berhasil. Kontroversi perkauman antara Luis Suarez dan Patrice Evra (Manchester United) turut mewarnai liga musim ini.
Trivia: Sebanyak 33 percubaan daripada pemain Liverpool terkena tiang dan palang gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pemain Terbaik: Daniel Agger
Perpindahan Terbaik: Craig Bellamy (dari Manchester City)
Gred Purata Markah: B
MANCHESTER CITY (Juara Liga Perdana Inggeris 2011/2012,
layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2012/2013)
layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2012/2013)
Maka ramailah yang mengaku sebagai penyokong setia City
(setia sejak Mei 2011)
Setelah beberapa tahun berbelanja besar untuk bersaing dengan pasukan tetangga mereka, akhirnya Manchester City berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama - kejuaraan liga pertama mereka sejak 1968. Laluan mereka tidak mudah apabila mereka disaingi hebat Manchester United sepanjang musim. Kontroversi Mario Balotelli, perbalahan Carlos Tevez dengan pengurus Roberto Mancini dan kemerosotan prestasi hampir menjejaskan peluang mereka. Keinsafan Tevez akhirnya menjadi punca Citizens kembali ke landasan sebenar untuk mengesahkan kejuaraan liga - pada minit ke-93 perlawanan terakhir.
Trivia: Manchester City menjaringkan 10 gol dalam masa kecederaan musim ini, paling banyak dalam Liga Perdana Inggeris.
Pemain Terbaik: Yaya Toure
Perpindahan Terbaik: Sergio Aguero (dari Atletico Madrid)
Gred Purata Markah: A+
MANCHESTER UNITED (Naib Juara Liga Perdana Inggeris 2011/2012,
layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2012/2013)
layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2012/2013)
Syaitan merah meraikan kejayaan melalaikan umat manusia
Hasrat Manchester United untuk menjulang kejuaraan liga ke-20 tidak kesampaian setelah diatasi oleh Manchester City pada saat-saat akhir selepas pertarungan yang sengit sepanjang musim. Red Devils hanya dapat menyalahkan diri sendiri atas kegagalan mereka walaupun mendahului dengan 8 mata pada suatu ketika. Keciciran mata dalam beberapa perlawanan penting menjadi punca kegagalan mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu. Red Devils turut beraksi buruk di Eropah apabila gagal melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Trivia: Dengan menjaringkan gol ketika Manchester United menewaskan Fulham 5-0, Ryan Giggs muncul pemain tunggal menjaringkan gol dalam semua 20 musim Liga Perdana Inggeris sejak ia diperkenalkan pada musim 1992/1993.
Pemain Terbaik: Wayne Rooney
Perpindahan Terbaik: Paul Scholes (dari persaraan)
Gred Purata Markah: A
Bersambung lagi.
No comments:
Post a Comment