Thursday, October 27, 2011

Mereka Yang Telah Pergi #NUFC

Salam Sejahtera.



Setiap yang bermula pastinya akan berakhir.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.

Itulah lumrah kehidupan.

-------------------------------------------------------------------------



Seperti yang dijanjikan tidak lama dulu, entri kali ini adalah sambungan daripada entri ini.

Newcastle United meneruskan permulaan memberangsangkan mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim 2011/2012 ini. Masih lagi tanpa kalah selepas 9 perlawanan dan berkongsi tangga ke-3 dengan Chelsea. Benteng Newcastle juga paling kukuh setakat ini dalam liga, hanya bolos 6 gol setakat ini. Namun lima perlawanan liga selepas ini - Stoke City, Everton, Manchester City, Manchester United dan Chelsea. Apakah yang akan terjadi?


Apapun, Howay The Lads.

Artikel hari ini sebenarnya berkisar tentang pemain-pemain yang meninggalkan Newcastle United setelah berakhirnya musim 2010/2011. Perpindahan mereka - terutamanya tonggak-tonggak utama pasukan menyebabkan Newcastle United diramalkan akan bergelut musim ini oleh media. Siapakah mereka yang telah pergi?

Kevin Nolan (29 tahun)
Destinasi: West Ham United
Kos: 3.5 juta pound

Tiada lagi tarian ayam kapten

Kapten Newcastle dan penjaring terbanyak musim lalu, Kevin Nolan menyertai kelab West Ham United bimbingan bekas bos beliau, Sam Allardyce. Penulis pernah menulis pasal beliau di sini.

Nolan menyertai Newcastle pada Januari 2009 dari Bolton Wanderers dengan kos 4 juta pound. 30 gol dalam 91 penampilan dalam 2 1/2 tahun adalah luar biasa bagi seorang pemain tengah. Antara watak penting memastikan Newcastle kembali ke kelompok elit musim lalu.

Nolan & Barton - abang long sebenar di Tyneside

Nolan mahu kontraknya yang berbaki dua tahun dilanjutkan kepada 5 tahun namun kelab tidak bersetuju. Malah persembahan beliau yang sudah mula merosot akhir-akhir ini. West Ham pula hadir dengan kontrak impian beliau. Wang, nampaknya.

Pemergian beliau adalah antara sebab Newcastle dijangka bergelut. Kata mereka, siapa yang akan menjaringkan gol? Siapa yang akan memimpin pasukan?

Jose Enrique (25 tahun)
Destinasi: Liverpool
Kos: 6 juta

Satu-satunya gol Jose sepanjang 4 tahun di SJP.
Kau di mana?


Pada 2007, bos Newcastle ketika itu Sam Allardyce mendapatkan seorang bek kiri dari kelab Sepanyol, Villarreal. Beliau ialah Jose Enrique Sanchez Diaz ('the Bull'). Antara pemain kesukaan ramai dan antara bek kiri terbaik di EPL.

Setelah berjaya menyesuaikan diri dengan bola sepak England, Jose membentuk gandingan mantap bersama Jonas Gutierrez di bahagian kiri padang. Namun, Jose agak kurang fokus di saat akhir musim lalu. Mungkin terkenangkan Liverpool agaknya.

Antara pencapaian beliau di Newcastle United - Pemain Terbaik Tahunan musim 2009/2010 dan muncul dalam pasukan terbaik Liga Kejuaraan 2009/2010 bersama Carroll, Nolan dan Fabricio Coloccini.

Jose dan 'King' - bahgia bersama Carroll di Anfield.

Liverpool dilaporkan merisik beliau sejak Januari lalu untuk menyelesaikan masalah posisi bek kiri mereka. Dengan menyertai Liverpool, Jose Enrique berharap untuk mencapai cita-cita bermain di Liga Juara Juara Eropah dan bermain untuk skuad kebangsaan Sepanyol.

Ini disebabkan Liverpool adalah kelab yang lebih handal dan berprestij, katanya. Toon Army pula merasakan mereka kehilangan seorang pemain berkualiti - 129 perlawanan dalam 4 tahun.

Joey Barton (29 tahun)
Destinasi: Queen Park Rangers
Kos: Percuma

Barton ditawarkan kepada kelab lain secara percuma setelah rundingan kontrak baru antara beliau dan kelab gagal. Beliau kemudiannya mengutuk polisi perpindahan pemain dan pentadbiran pemilik kelab Mike Ashley di media dan juga - twitter.


Joey Barton menyertai Newcastle United pada 2007 daripada Manchester City dengan bayaran 5.8 juta pound. Sepanjang 4 tahun, Barton melakukan 84 penampilan dan menjaringkan 8 gol. Seorang pemain yang komited di atas padang tetapi mempunyai peribadi yang agak bermasalah.

Sejak dulu lagi, beliau tidak sunyi daripada pelbagai insiden kontroversi sama ada di dalam atau di luar padang. Antaranya:

2005
Didenda 120,000 pound dan dihantar pulang dari kempen pra musim Machester City di Thailand selepas membelasah soerang budak Everton berusia 13 tahun yang mengejek beliau.

2007
Digantung sehingga akhir musim selepas menyerang rakan sepasukan di Manchester City, Ousmane Dabo. Juga didenda 100,000 pound. Barton kemudiannya digantung 6 perlawanan lagi selepas berpindah ke Newcastle atas kesalahan ini.

Xabi Alonso pun tak boleh

2008
Dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan kerana mencederakan seorang lelaki dan seorang remaja. Beliau sempat dipenjarakan 77 hari sebelum dibebaskan.

2009
Bergaduh dengan lagenda kelab dan pengurus sementara Alan Shearer selepas dilayangkan kad merah ketika Newcastle kalah 0-3 kepada Liverpool. Barton terlepas 3 perlawanan terakhir liga dan Newcastle tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Insiden dahi Gervinho

2010
Menumbuk pemain Blackburn Rovers, Morten Gamst Pedersen ketika Newcastle kalah 1-2. Akibatnya, Barton digantung 3 perlawanan oleh FA England.

2011
Menyebabkan Gervinho dilayangkan kad merah ketika Newcastle seri 0-0 dengan Arsenal. Seorang lagi pemain Arsenal, Alex Song kemudian digantung tiga perlawanan kerana memijak kaki Barton tetapi tiada tindakan daripada pengadil.

Beliau kini menyertai kelab Tony Fernandes, Queen Park Rangers. Beliau menyifatkan Tony sebagai seorang pemilik bercita-cita tinggi, tidak seperti Mike Ashley di Newcastle.

Joey di QPR

Walaupun beliau kini mengakui sudah insaf, beliau masih lagi lantang bersuara (dalam twitter). Agak lancang mulut beliau di situ. Macam Azwan Ali mungkin.

Berminat mengikuti perkembangan beliau di twitter? Ini akaun beliau. Yang Original punya. Penyokong Queen Park Rangers di Malaysia mesti ikut beliau. Inikan kapten kamu!

Wayne Routledge (26 tahun)
Destinasi: Swansea City
Kos: 2.8 juta pound

Pemain sayap kanan Wayne Routledge menyertai Newcastle pada Januari 2010 dari Queen Park Rangers. Beliau pernah bermain untuk Crystal Palace, Tottenham Hotspur, Portsmouth, Fulham, Aston Villa dan Cardiff City sebelum ini.

Routledge melawan Ashley Cole

Antara muka penting sewaktu kempen Liga Kejuaraan, aksi Routledge dalam Liga Perdana Inggeris bagaimanapun kurang meyakinkan. Pengurus Alan Pardew menghantarnya keluar secara pinjaman ke bekas kelabnya QPR Januari lalu. Kelab baru EPL, Swansea City kemudiannya mendapatkan khidmat beliau Jun lalu.

Seorang pemain bintang dalam Liga Kejuaraan tetapi bergelut dalam Liga Perdana.

Sol Campbell (37 tahun)
Destinasi: -
Kos: percuma (tamat kontrak)

Dimamah usia

Bekas pemain pertahanan England, Sol Campbell menyertai Newcastle United untuk tempoh setahun pada Julai 2010. Campbell sempat beraksi 7 perlawanan, kebanyakannya di bawah bekas pengurus Chris Hughton. Perlawanan terakhir Campbell adalah ketika Newcastle kalah 0-4 kepada Stoke City. Kontrak beliau tidak disambung.

Beliau pernah beraksi bersama Tottenham Hotspurs, Arsenal (2 kali), Portsmouth dan Notts County. Sol berjaya membuat 503 penampilan dalam EPL dan muncul pemain kedua beraksi dalam semua musim Liga Perdana Inggeris selepas Ryan Giggs.

Shefki Kuqi (34 tahun)
Destinasi: Oldham Athletic
Kos: Percuma (tamat kontrak)


Kuqi menyertai Newcastle pada Februari 2011 untuk tempoh jangka pendek selepas Andrew Carroll berpindah ke Liverpool. Kontrak beliau yang tamat selepas itu tidak disambung. Kuqi kini beraksi di kelab Liga Satu Oldham Athletic.

Beberapa pemain simpanan yang tidak berjaya mendapat tempat dalam pasukan utama turut dilepaskan setelah tamat kontrak. Antaranya Ben Tozer (Northampton Town), Patrick McLaughlin (York City), Dan Leadbitter (Torquay United), Aaron Spear, Matthew Grieve, Andy Mogwo dan Fabio Zamblera.

Steve Harper perlukan masa bermain

Selain itu ada juga pemain yang berpindah keluar secara pinjaman atas sebab tertentu. Mereka ini akan kembali setelah tamat tempoh pinjaman. Mereka ialah Xisco (Deportivo La Coruna), Fraser Forster (Glasgow Celtic) dan Steve Harper (Brighton & Hove Albion).

Pemain muda yang dipinjamkan termasuk Kazenga Lua Lua (Brighton & Hove Albion), James Tavernier (Carlisle), Ole Soderberg (Darlington), Jeff Henderson dan Jak Alnwick (Gateshead), Michael Richardson (Leyton Orient), Phil Airey (Hibernian), Ryan Donaldson (Tranmere Rovers).

Sekian.
Tahniah jika anda mampu habiskan baca artikel ini.

No comments: